ARTIKEL

Fauziah Latiff raikan empat dekad seni penuh nostalgia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Tempoh empat dekad dalam dunia seni bukan sekadar angka, tetapi sebuah kembara yang sarat dengan episod jatuh bangun, kenangan dan penghargaan yang kesemuanya disimpul kemas dalam konsert ‘4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert’, baru-baru ini.

Berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Fauziah Latiff, 56, atau lebih mesra disapa Kak Gee, merangkumkan perjalanan seninya dalam sebuah persembahan penuh emosi, penghayatan dan nostalgia yang mengimbau hubungan eratnya dengan peminat sejak awal kemunculan.

Hampir 3,000 peminat membanjiri ruang dewan dengan majoriti hadir berbusana putih sebagai simbol penyatuan dan sokongan terhadap penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu-lagu balada romantis itu.

Seawal kemunculan di pentas, Fauziah memilih untuk mendakap kerendahan hati dengan mengakui malam itu bukan tentang mengejar kesempurnaan teknikal tetapi tentang kejujuran seorang anak seni kepada peminat yang setia bersamanya sejak era kaset lagi.

“Mungkin persembahan ini tidak sempurna, tapi saya cuma berharap semua yang hadir malam ini dapat membawa pulang memori yang indah bersama-sama dengan saya,” katanya dalam nada sebak.

Persembahan yang berlangsung lebih dua jam itu membawa penonton menyusuri bab demi bab karier Fauziah menerusi untaian 22 lagu hit antaranya Setiaku Korbankan, Tua Mengejar Kita, Enggan, Dia, Sahabat, Dari Kaki Tangga Ke Menara dan Teratai Layu di Tasik Madu.

Biarpun faktor usia menyaksikan vokalnya tidak lagi seperti era kemuncak, Fauziah bijak menampung kekurangan itu dengan penghayatan yang cukup mendalam sehingga menjadikan setiap baris lirik terasa lebih ‘bernyawa’ dan menyentuh hati penonton.

Gabungan susunan muzik yang lebih matang serta visual pentas LED yang sinematik turut memperkukuh keseluruhan persembahan, sekali gus menjadikan setiap segmen terasa lebih tersusun, elegan dan bersifat penceritaan.

Penampilan Fauziah yang kekal anggun dalam empat persalinan rekaan Ezuwan Ismail turut menggamit memori, membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan beliau suatu ketika dahulu.

Suasana dewan bertukar hangat apabila hampir keseluruhan penonton turut menyanyi bersama-sama, sekali gus mengubah ruang plenari menjadi sebuah pertemuan keluarga besar yang disatukan di bawah payung melodi malar segar dendangannya.

Antara momen paling mencuri tumpuan ialah ketika Fauziah menyampaikan lagu Enggan yang diakui sebagai antara karya paling mencabar untuk dipersembahkan secara langsung, namun tetap dilunaskan penuh emosi.
“Masya-Allah, bergetar lutut. Lagu ini memang lagu ‘bunuh diri’ kerana sukar dinyanyikan. Dari dulu penerbit pun tahu. Lagu ini memang paling saya takut untuk nyanyikan,” katanya sambil disambut sorakan peminat.

Malam istimewa itu turut diserikan dengan kehadiran “Raja Pop” Datuk Jamal Abdillah yang tampil berduet menerusi lagu Kehebatan Cinta, selain sokongan rakan seperjuangan seperti Ziana Zain, Liza Hanim, Rozita Che Wan, Amylea Azizan dan Azah Aziz.

Tanpa bersandar pada gimik berlebihan, konsert itu membuktikan kekuatan sebenar seorang penghibur terletak pada keupayaan berkongsi rasa dan kejujuran.

Fauziah Latiff berjaya membuktikan bahawa biarpun masa terus beredar, memori dan rasa yang ditinggalkan menerusi karya-karyanya akan terus kekal abadi merentas generasi. – BERNAMA

BERITA LAIN

NIDJI bawa mesej perpaduan

Kumpulan muzik rock alternatif Indonesia, Nidji, mahu menjadikan pentas muzik sebagai ruang untuk menyebarkan mesej positif bagi meredakan ketegangan dan perselisihan faham antara rakyat Malaysia

BERITA TERBARU