YUZAIRUL YUSOF
KUCHING: Kuching City FC menegaskan pendekatan berbelanja secara berhemat tetap menjadi keutamaan walaupun berjaya membawa masuk beberapa pemain berprofil tinggi bagi memperkuatkan skuad menghadapi musim 2026/2027.
Presidennya, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, antara pendekatan yang diambil ialah mendapatkan pemain berkualiti secara pinjaman daripada kelab lain bagi mengurangkan beban kewangan kelab.
“Kita mempunyai banyak perlawanan setiap minggu dan skuad sedia ada tidak mencukupi untuk mengharungi jadual yang begitu padat.
“Sebab itu kita memerlukan lebih ramai pemain berkualiti, namun pada masa sama kita tetap berpegang kepada falsafah pengurusan kewangan yang berhemat,” katanya ketika ditemui selepas Program Inisiatif Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi PETRONAS Youth Football Closed Tournament (PYFCT) di sini, semalam.
Menurut Fazzrudin, pengambilan pemain baharu l dibuat berdasarkan keperluan pasukan yang bakal mengharungi jadual padat membabitkan lima kejohanan utama, bukannya semata-mata untuk berbelanja besar.
“Apabila pemain dipinjamkan kepada kita, sudah tentu kos yang perlu ditanggung tidak sebesar jika menandatangani mereka secara tetap.
“Pendekatan ini membolehkan kita mendapatkan pemain berkualiti tanpa menjejaskan kedudukan kewangan kelab,” jelasnya.
Beliau berkata setiap pemain yang dikenal pasti juga perlu memahami serta menerima hala tuju Kuching City FC sebelum sebarang rundingan dimuktamadkan.
“Kita berbincang dengan pemain yang dikenal pasti dan memastikan mereka bersetuju dengan keadaan serta falsafah Kuching City FC. Jika mereka tidak bersetuju, kita tidak boleh meneruskan rundingan.
“Itulah pendekatan kita dalam membentuk pasukan yang kompetitif, tetapi pada masa sama kekal mengamalkan pengurusan kewangan yang berdisiplin,” katanya.
Kuching City FC dijangka mengharungi musim paling mencabar dalam sejarah kelab apabila bakal bersaing dalam Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejuaraan Kelab ASEAN (Shopee Cup).
Susulan jadual yang padat, kelab giat memperkukuh skuad dengan gabungan pemain tempatan dan import bagi memastikan setiap pertandingan dapat diharungi secara kompetitif tanpa menjejaskan prestasi pasukan.


