KUCHING: Rock in the Jungle 2.0 yang bakal berlangsung pada 29 dan 30 Ogos ini di Sarawak Cultural Village menjanjikan persembahan penuh bertenaga dengan gabungan artis tempatan dan antarabangsa.
Antara kumpulan yang bakal menghangatkan pentas pada hari kedua ialah Fearless, sebuah kumpulan gabungan Malaysia dan Indonesia yang baru ditubuhkan pada Januari lalu namun sudah melakar nama melalui karya dan persembahan teknikal mereka.
Vokalisnya, Fathan Criss, berkata Rock in the Jungle 2.0 merupakan platform penting bagi Fearless mempersembahkan muzik mereka di hadapan peminat.
“Insya-Allah kami akan membawa lapan lagu, termasuk lima lagu asli dan tiga lagu cover daripada band legenda seperti Iron Maiden, Skid Row dan Guns N’ Roses,” jelasnya ketika ditemu bual Suara Sarawak.
Beliau berkata keunikan Fearless terletak pada barisan ahlinya yang berpengalaman luas dalam industri muzik rantau ini.
“Kami gabungan Malaysia dan Indonesia. Basis kami daripada kumpulan God Bless, gitaris daripada Fudu Band Indonesia, drummer bekas anggota Dewa 19, manakala dari Sarawak kami bawa Chris X, saya sendiri sebagai vokalis dan juga Ritchie yang dikenali sebagai pengajar muzik.
Gabungan ini menjadikan Fearless energetik, berkuasa dan teknikal,” katanya.

Mengenai perkembangan muzik rock di Malaysia, khususnya di Sarawak, Fathan Criss yakin industri terus berkembang dengan kemunculan kumpulan baharu yang membawa pendekatan segar.
“Sekarang orang mencari sesuatu yang berbeza.
Kita ada kumpulan seperti Hujan dan 6ixth Sense yang membawa identiti tersendiri.
Di Sarawak juga ada band seperti Chris X dan Cermin yang mendapat sokongan padu untuk tampil di luar negeri,” katanya.
Fearless baru sahaja melancarkan lima lagu pada bulan lalu, tiga dalam bahasa Inggeris dan dua dalam bahasa Indonesia, yang kini boleh didengari melalui YouTube dan Spotify.
Fathan Criss turut mengajak peminat dari dalam dan luar negara hadir memeriahkan festival ini.
“Kami harap peminat rock dan juga mereka yang bukan peminat rock akan datang.
Muzik Fearless mudah didengar dan sesuai untuk semua.
Peminat dari Indonesia, terutama di Kalimantan Barat, hanya perlu menyeberang enam hingga tujuh jam untuk ke Kuching.
Di sini nanti anda dapat menyaksikan Kotak, Gigi, Loudness, Nice Stupid Playground, Breathe In Ocean dan pastinya Fearless,” katanya.
Rock in the Jungle 2.0 dijangka menarik kehadiran lebih 12,000 penonton, sekali gus menggandakan jumlah pengunjung berbanding edisi pertama tahun lalu.


