ARTIKEL

Fenomena Ameng Spring

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PERNAH berada di puncak populariti sebelum terjerumus dalam episod hitam yang mengubah seluruh perjalanan hidupnya, vokalis Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, kini memilih untuk bangkit dengan caranya tersendiri.

Menggantikan pentas konsert gah yang pernah melonjakkan namanya suatu ketika dahulu, penyanyi ikonik bersuara emas itu kini membina empayar baharu di skrin telefon pintar, sekali gus mencetuskan fenomena luar biasa yang merentasi jurang generasi.

Daripada seorang banduan yang pernah mengalirkan air mata penyesalan di sebalik tirai besi, Ameng kini berubah menjadi antara pempengaruh paling santai dan dihormati di platform media sosial seperti TikTok dan Facebook.

Pendekatannya yang telus, jujur dan berani berkongsi realiti kehidupan tanpa berselindung berjaya menambat hati pelbagai lapisan masyarakat, daripada golongan kerabat diraja, pemandu lori, peniaga kecil, sehinggalah kanak-kanak dan generasi muda.

Detik 4.45 petang: ‘Kedai’ TikTok bermula Bagi pengguna media sosial di Malaysia, waktu selepas solat Asar kini sinonim dengan satu rutin baharu.

Apabila jam menunjukkan tepat jam 4.45 petang, telefon pintar mula dihujani notifikasi yang berbunyi, “Mr. Bougainvillea is LIVE”.

Nama ‘Mr. Bougainvillea’ yang diambil bersempena tajuk salah satu lagu hit kumpulan Spring pada asalnya dipilih oleh Ameng secara santai agar kehadirannya tidak mudah dikesan.

Namun begitu, strategi itu tidak bertahan lama. Keikhlasan dan keunikan kandungannya pantas mendapat perhatian orang ramai sehingga akaun tersebut meledak sebagai satu fenomena digital.

Bayangkan, ketika waktu pejabat hanya berbaki beberapa minit sebelum tamat dan produktiviti mula menurun, puluhan ribu rakyat Malaysia sanggup mengetepikan seketika urusan lain demi menatap skrin telefon pintar mereka.

Sesi siaran langsung harian Ameng secara konsisten berjaya menarik jumlah tontonan yang luar biasa, iaitu mencecah antara 15,000 hingga 25,000 penonton serentak pada satu-satu masa.

Angka itu jauh mengatasi jumlah tontonan selebriti baharu atau pempengaruh ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) yang gigih menari tanpa henti demi meraih perhatian.

Dakwah santai penuh humor Apakah rahsia di sebalik kebanjiran penonton ini? Jawapannya terletak pada gaya penyampaian Ameng yang tiada tandingannya.

Beliau tidak berceramah atau berkhutbah dengan nada garang seolah-olah dirinya sahaja yang maksum dan layak menghuni syurga.

Sebaliknya, Ameng membawakan konsep penceritaan yang sangat bersahaja serta diselitkan dengan lawak jenaka spontan.

Lebih menarik, sorakan atau jeritan kecil seperti “Lllaaahhhh” dan keluhan “Ermmm…” kini menjadi tanda dagang serta ungkapan ikonik yang sering diulang oleh peminat di ruangan komen.

“Dulu abang dekat dalam (penjara)… ermmm… makan nasi kawahllahh! Dik, kau jangan main-main. Lauk dia? Ermmm… kalau kau nampak, kau pun nangis, dik.”

Gaya komunikasi yang santai dan bersahaja inilah yang menjadi kunci utama mengapa mesej berat yang dibawanya dapat meresap terus ke dalam hati pendengar tanpa membuatkan mereka berasa dipaksa atau dihakimi.

Sesi siaran langsung beliau  juga tidak ubah seperti mini siri televisyen tanpa skrip yang menggabungkan nostalgia zaman rambut panjang dan seluar ketat era 1990-an, kisah domestik seorang ayah, hinggalah kepada perkongsian ilmu agama.

‘Jangan jadi macam saya’: Amaran sebenar dari tirai besi Di sebalik tawa dan jenaka yang menghiburkan, kandungan TikTok Ameng mempunyai impak yang sangat mendalam kerana keberaniannya berkongsi pengalaman sebenar sepanjang lapan tahun menjalani hukuman penjara akibat kesilapan lampau berkaitan dadah.

Menurut Ameng, segala pendedahan mengenai keperitan hidup di dalam sel sempit, kualiti makanan penjara dan kesunyian yang mencengkam dilakukan bukan untuk membuka aib lama, meraih simpati atau berbangga dengan statusnya sebagai bekas banduan.

Sebaliknya, beliau menganggap perkongsian itu sebagai amanah demi memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Masih saya ingat, sebelum dibebaskan dari penjara, saya pernah meminta izin daripada pengarah penjara. Saya bertanya kepadanya tentang perkara yang patut saya sampaikan kepada masyarakat mengenai kehidupan di penjara.

“Beliau berkata saya boleh menceritakan apa-apa sahaja asalkan matlamatnya adalah untuk menimbulkan rasa takut dalam kalangan masyarakat agar tidak terjebak sehingga dipenjarakan.

“Itulah yang saya kongsikan di TikTok, kisah sebenar dan bukannya rekaan. Contohnya, keadaan makanan atau pengalaman sukar di sana supaya orang ramai berasa gerun,” ujar Ameng.

Pengalaman terkurung selama lapan tahun merupakan satu keperitan yang amat dahsyat buat dirinya. Kehilangan kebebasan, kerinduan yang tidak tertanggung terhadap keluarga, serta melihat segala harta benda dan reputasi lenyap dalam sekelip mata pernah membuatkan beliau menangis berjam-jam setiap hari.

Baginya, pengalaman hitam itu merupakan amaran terbaik kepada masyarakat bahawa dunia ini terlalu indah untuk dipersiakan di dalam sel yang hanya sebesar bilik air.

Misi menyelamatkan Generasi Z Fokus utama perkongsian Ameng kini lebih tertumpu kepada generasi muda, khususnya Generasi Z yang berumur antara 17 hingga 35 tahun, iaitu demografi terbesar berdasarkan data analitik TikTok miliknya.

Beliau menyedari golongan muda hari ini mudah terpengaruh, mengalami kegelisahan dan berdepan tekanan emosi yang hebat.

“Mereka ini mudah tertekan atau mengalami kegelisahan. Apabila tertekan, mereka mungkin melakukan perkara yang tidak sepatutnya seperti lari dari rumah atau terjebak dengan masalah sosial.

“Saya mahu mereka memahami realiti kehidupan yang sebenar. Saya juga mengingatkan mereka tentang bahaya perkara yang kelihatan remeh seperti penggunaan rokok elektronik (vape) yang mungkin mengandungi dadah tanpa disedari atau lumba haram yang boleh membawa kepada hukuman penjara yang panjang,” jelasnya.

Melalui ‘pesanan khidmat masyarakat’ yang menjadi pengisian wajib dalam setiap sesi siaran langsung, Ameng sentiasa menekankan agar orang ramai tidak sesekali terjebak dengan dadah kerana beliau sendiri pernah merana dan kehilangan segala-galanya akibat kesilapan tersebut.

Selain itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mencuri dan tidak menjadi samseng kerana kehidupan sebagai gengster mungkin kelihatan hebat di luar, namun hakikatnya mereka yang berada di dalam penjara pasti akan menangis mengenangkan ibu dan anak-anak.

Pada masa sama, Ameng juga menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga tiang agama dengan menunaikan solat lima waktu, mengqada solat yang tertinggal, menggantikan puasa, serta mendekatkan diri kepada al-Quran.

Dalam pada itu, beliau turut menitipkan nasihat kepada masyarakat agar tidak meminggirkan ahli keluarga yang sedang menjalani hukuman.

Menurutnya, sokongan institusi kekeluargaan merupakan talian hayat utama dalam proses transformasi diri seseorang banduan agar mereka tidak kembali ke jalan lama selepas dibebaskan.

Kebangkitan bermaruah Masyarakat Malaysia terkenal dengan sifat yang unik, iaitu cepat marah terhadap kesilapan, namun sangat pemaaf dan penyayang kepada mereka yang benar-benar menunjukkan keinsafan dan perubahan diri.

Keikhlasan Ameng mengakui kekhilafan lalu mengangkat martabatnya ke kedudukan yang tinggi di mata orang ramai. Rentetan daripada fenomena media sosial itu, pintu rezeki Ameng terbuka luas dan mencurah-curah tanpa henti.

Di sebalik kesibukan menguruskan siaran langsung bersama anak-anaknya, Amar dan Azeeva, yang bertindak sebagai moderator, kerjaya seni muzik Ameng kembali menyinar. Beliau kini aktif di bawah naungan Sony Music dengan kontrak untuk melancarkan satu lagu setiap tiga bulan.

Antara projek terbaharunya termasuk lagu adunan semula Sampai Hati yang dipersembahkan secara trio bersama-sama Afif Tarmizi dan penyanyi baharu, Julia Kamalia.

Perancangan masa hadapannya juga padat dengan projek lagu ketuhanan (nasyid), lagu ciptaan komposer legenda Saari Amri, adunan semula lagu Sejiwa, serta rakaman lagu Spring secara duet bersama-sama anakanaknya sendiri.

Bukan itu sahaja, nama Ameng kini semakin menjadi sebutan dalam kalangan penganjur acara menerusi lambakan tawaran seperti Konsert Tiga Suara dan konsert solo.

Bagaimanapun, di sebalik vokal bernada tinggi yang masih kekal mantap dan lunak seperti zaman kegemilangannya pada awal era 1990-an, Ameng mengakui fokus utamanya kini telah berubah.

Beliau kini lebih mengutamakan program pencegahan dadah dan aktiviti kemasyarakatan bersama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kisah inspirasi anak jati Besut Menyingkap latar belakangnya, Ameng yang dilahirkan di Besut, Terengganu, merupakan anak keempat daripada enam beradik.

Beliau dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan. Bapanya merupakan seorang guru besar di SK Apal, Besut, manakala ibunya pula berniaga kecil-kecilan.

Kebanyakan adik-beradiknya memilih kerjaya sebagai penjawat awam dan hanya beliau yang memilih dunia seni. Ameng sebenarnya merupakan seorang pelajar yang pintar dan pernah ditempatkan dalam aliran Sains di SMK Seri Nering, Besut.

Minat mendalam terhadap muzik sejak zaman persekolahan, ketika beliau menjadi pemain gitar dalam kumpulan muzik kampung, mendorongnya melanjutkan pengajian dalam bidang muzik di Institut Teknologi MARA (ITM), yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Walaupun bapanya mahu beliau meneruskan legasi keluarga sebagai pendidik, Ameng ketika itu sudah terpengaruh dengan aura kumpulan rock tanah air seperti Search, Lefthanded dan Wings sehingga menjadikan Awie sebagai idola penampilannya.

Kesetiaan isteri dan keluarga Lebih manis, isteri Ameng, Sabariah Zakaria, menerima pujian meluas atas kecekalan dan kesetiaannya menunggu sepanjang tempoh hukuman tersebut. Justeru, Ameng menzahirkan rasa syukur yang mendalam atas pengorbanan isterinya yang sentiasa memahami dan teguh berada di sisinya ketika melalui waktu sukar.

Detik kepulangan Ameng dari Penjara Kluang, Johor, pada 2016 menjadi memori yang menyentuh hati apabila beliau disambut penuh kasih sayang oleh Sabariah dan anak lelaki mereka, Wan Amar Haikal, yang setia menanti kepulangannya untuk kembali membina kehidupan bersamasama.

Kini, di luar skrin telefon pintar dan pentas nyanyian, Ameng tetap mengekalkan sisi peribadinya yang sederhana. Beliau gemar meluangkan masa lapang dengan aktiviti memancing dan mempunyai minat yang mendalam terhadap filem Tamil sebagai hiburan santainya.

Kisah hidup Ameng Spring memberikan satu pengajaran besar tentang erti kehidupan, iaitu masa lalu yang kelam tidak pernah menentukan masa depan seseorang.

Sesiapa sahaja boleh jatuh tersungkur hingga ke titik paling bawah, namun untuk terus kekal di situ atau bangkit sebagai insan baharu yang lebih bermanfaat merupakan satu pilihan peribadi.

Ameng memilih untuk membersihkan segala noda masa lalu, mengabdikan sisa kehidupannya kepada masyarakat, serta membuktikan di sebalik setiap ujian pasti tersimpan hikmah yang besar.

BERITA LAIN

NIDJI bawa mesej perpaduan

Kumpulan muzik rock alternatif Indonesia, Nidji, mahu menjadikan pentas muzik sebagai ruang untuk menyebarkan mesej positif bagi meredakan ketegangan dan perselisihan faham antara rakyat Malaysia

BERITA TERBARU