ARTIKEL

TINGGAL KENANGAN... Turus Laut Kepala Ular di Taman Negara Bako yang runtuh, semalam.

Fenomena ombak besar di perairan Bako, dipercayai punca Turus Laut Kepala Ular runtuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Fenomena ombak besar yang berlaku di perairan Bako dipercayai menjadi punca runtuhnya Turus Laut Kepala Ular yang terbentuk daripada kesan hakisan batuan pasir berjuta-juta tahun.

Menurut Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), formasi batu yang ikonik dan terkenal di Taman Negara Bako itu disedari runtuh semalam.

“Kejadian dilaporkan oleh pemandu taman negara, Paul pada jam 4 petang.

“Kemungkinan, runtuhnya khazanah geologi negara itu adalah disebabkan oleh fenomena ombak besar yang berlaku di perairan Bako sejak beberapa hari lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SFC Abang Arabi Abg Aimran menegaskan, turus laut tersebut bukan sahaja menarik dalam aspek keindahan semula jadi.

“Bahkan banyak memberi sumbangan besar kepada industri pelancongan tempatan, terutama kepada pengusaha bot di Taman Negara Bako,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan, ramai pengujung yang telah melihat keindahan alam ini seharusnya sentiasa mengaguminya dan tidak mengambil mudah anugerah yang telah dikurniakan.

“Anugerah alam ini kadang-kadang boleh dipulihkan dan kadangkala tidak dapat digantikan.

“Satu set lengkungan laut dan turus batu ikonik serupa di Victoria, Australia, yang dipanggil 12 Rasul juga mengalami proses runtuhan yang sama.

“Buat masa ini daripada 12 tiang atau lengkungan yang asal, hanya tinggal lapan yang masih wujud,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU