KUCHING: Festival Budaya Mazu Borneo kali ketiga akan kembali dianjurkan di Kuching dari 3 hingga 10 Mei ini, dengan acara kemuncak berupa perarakan bot di Sungai Sarawak pada 9 Mei.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran tahun ini menandakan kesinambungan usaha menjadikan acara tersebut sebagai produk pelancongan budaya yang unik di negeri ini.
Katanya, Mazu merupakan tokoh yang dihormati sebagai dewi laut dalam budaya masyarakat Cina, dipercayai melindungi nelayan dan pedagang laut.
“Sambutan ulang tahun Mazu diraikan di seluruh dunia, khususnya di kawasan pesisir China, Taiwan dan Asia Tenggara, dengan majoriti penganut dianggarkan sekitar 300 juta orang,” katanya pada sidang media Festival Budaya Mazu Ketiga di Bangunan Baitulmakmur Dua, di sini hari ini.
Di Sarawak, katanya, sambutan itu diterjemahkan melalui perarakan bot di Sungai Sarawak yang menjadi tarikan utama festival.
“Perarakan ini melibatkan lebih 20 hingga 30 buah bot yang dihias dan akan menyusuri Sungai Sarawak pada malam 9 Mei,” jelasnya.
Abdul Karim berkata, festival itu turut disertai peserta dari pelbagai negara termasuk China, Indonesia (Singkawang, Pontianak, Batam dan Surabaya), Singapura serta Semenanjung Malaysia, selain penyertaan tempatan dari Sarawak dan Sabah.
Katanya, penganjuran kali ketiga ini menunjukkan peningkatan dari segi penyertaan serta minat antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai acara pelancongan berasaskan budaya.
Sementara itu, Penasihat Festival Budaya Mazu, Sih Hua Tong berkata, festival berkenaan berkembang sebagai platform perpaduan budaya dan pelibatan komuniti sejak pertama kali dianjurkan pada 2024.
Katanya, antara pengisian utama festival termasuklah upacara penghormatan ulang tahun Mazu, persembahan kebudayaan, bazar seni kreatif serta aktiviti komuniti seperti pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan perubatan tradisional.
Menurutnya, perarakan bot dijangka bermula sekitar 5.30 petang pada 9 Mei, dengan laluan menyusuri beberapa lokasi utama di Sungai Sarawak sebelum kembali ke kawasan pusat bandar.
Festival Budaya Mazu Borneo 2026 dijangka terus menarik kehadiran ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa sepanjang lapan hari penganjurannya di Kuching.


