LIMBANG: Limbang Bazaar bergema dengan alunan muzik dan sorakan lebih 1,500 pengunjung apabila Festival Muzik Wilayah Utara (NRMF) 2025 melabuhkan tirainya malam tadi.
Selama dua hari penganjuran, festival anjuran RTM Limbang bersama rakan strategik itu menampilkan persembahan kebudayaan, tarian tradisional, muzik sape serta konsert artis popular yang menghiburkan penonton hingga lewat malam.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata NRMF mengangkat Limbang sebagai pusat seni dan budaya yang kaya dengan kepelbagaian etnik.
“Matlamat festival ini adalah mengetengahkan kekayaan muzik di utara Sarawak, khususnya dengan kepelbagaian komuniti kita.
“Seperti Melayu, Kedayan, Cina, Lun Bawang, Murut, Bisaya dan lain-lain.
Acara sebegini memastikan warisan budaya kita terus utuh, khususnya kepada generasi muda serta pengunjung,” katanya pada Festival Muzik Wilayah Utara (NRMF) 2025, semalam.
Tambah ADUN Bukit Kota itu, festival tersebut kini dimasukkan dalam kalendar rasmi Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang yang menampilkan 14 program utama sepanjang tahun ini.
Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MCP) memperuntukkan RM100,000 bagi menjayakan NRMF, manakala Dr Abdul Rahman turut menyalurkan tambahan RM20,000.
“Festival ini bukan sahaja memperkukuh identiti budaya, malah berjaya mempromosikan Limbang sebagai destinasi pelancongan.
“Hanya dalam dua hari, ia menarik sekitar 5,000 pengunjung dan menjana lebih RM50,000 kepada peniaga tempatan,” jelasnya.
Selain limpahan rezeki kepada peniaga kecil, usahawan makanan dan kraftangan, siaran langsung festival menerusi Facebook dan TikTok LimbangFM turut membuka peluang lebih ramai menikmati persembahan secara dalam talian.
Malam penutupan diserikan dengan cabutan bertuah, penyampaian cenderamata dan konsert utama yang menampilkan persembahan tarian etnik, muzik sape serta artis kegemaran ramai termasuk Anthony Usan, Roxy Ixzy dan Ramles Walter.
Dalam majlis sama, Dr Abdul Rahman mengumumkan beberapa acara besar lain yang bakal mewarnai Limbang, antaranya Festival Santaba Jetty (23-24 Ogos), Festival Nuba Laya (12-13 September), Festival Lumpur Bebuak Meritam (20-21 September), Festival Bedudun dan Perlumbaan Kerbau, Hari Bukit Mas, Hari Belia, Hari Motor Limbang, Pertandingan Tarik Tali Terbuka Antarabangsa (20-23 November) serta sambutan Ambang Tahun Baharu 2026.



