KUCHING: Penganjuran festival muzik dan acara berskala besar di Sarawak akan terus dipantau menerusi kawalan keselamatan yang lebih menyeluruh termasuk tindakan awal bagi membendung penyalahgunaan dadah.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, langkah tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pelbagai pihak bagi memastikan setiap acara berlangsung dalam keadaan selamat.
“Setiap penganjuran akan melalui proses penilaian risiko bagi menentukan keperluan penugasan anggota, selain jumlah anggota yang ditugaskan akan ditambah mengikut keperluan bagi menjamin keselamatan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berkaitan aspek keselamatan penganjuran festival di Sarawak selepas Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Samarahan, hari ini.



Beliau berkata, polis juga akan mengambil tindakan pencegahan awal sekiranya menerima maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah kerana gejala itu dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada pelbagai jenayah lain.
“Apabila kita berjaya membanteras dadah, secara tidak langsung kita juga dapat mengurangkan jenayah lain kerana terdapat kajian yang menunjukkan dadah menjadi penyumbang kepada pelbagai kes jenayah,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu turut menyumbang kepada penurunan kadar jenayah di Sarawak apabila negeri ini merekodkan penurunan melebihi 20 peratus, termasuk di daerah Kota Samarahan dan Padawan.


Menurutnya, mulai tahun ini PDRM tidak lagi menggunakan kaedah pengukuran jenayah indeks yang hanya merangkumi 13 kategori kesalahan, sebaliknya beralih kepada penunjuk jenayah keseluruhan yang mengambil kira semua kategori jenayah yang dilaporkan.
“Pendekatan baharu itu lebih komprehensif dan realistik dalam menggambarkan situasi jenayah sebenar di seluruh negara, termasuk di Sarawak yang turut menunjukkan trend penurunan berdasarkan kaedah penilaian tersebut,” katanya.
Mengulas Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), beliau berkata polis tidak merekodkan sebarang tangkapan khusus atau insiden serius sepanjang festival itu berlangsung, sekali gus membuktikan tahap keselamatan acara berkenaan berada dalam keadaan terkawal.


