KUCHING: Festival Sarawakiana terus membuktikan peranannya sebagai platform penting dalam menzahirkan keunikan kepelbagaian kaum di Sarawak dan mencerminkan identiti serta kekuatan
masyarakat di negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli berkata festival berkenaan juga dapat mengetengahkan masyarakat kaya dengan adat warisan, budaya dan sejarah yang terus hidup serta berkembang.
Secara tidak langsung, katanya, penganjuran festival seumpama ini juga dapat memperkukuhkan kepelbagaian budaya dan melambangkan semangat kesatuan di Sarawak.
“Generasi muda, penyelidik budaya, penggiat seni dan wakil masyarakat pelbagai kaum telah tampil berkongsi ilmu pengetahuan, kreativiti dan adat tradisi masing-masing. Inilah bukti bahawa warisan kita terus subur, dihargai dan dipelihara bersama-sama,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Pustaka Negeri Sarawak, Wan Mazli Wan Razali sempena Majlis Penangguhan Festival Sarawakiana 2025 di Hotel Hilton Kuching, hari ini.
Tambahnya, dalam mendepani era globalisasi dan teknologi moden, warisan ini juga berhadapan risiko akibat perubahan gaya hidup, urbanisasi dan dominasi budaya global.
Justeru, menurutnya, usaha pemeliharaan, pendokumentasian dan pemindahan warisan ilmu, budaya serta kepercayaan secara sistematik adalah penting untuk memastikan kesinambungannya sebagai khazanah intelektual dan budaya Sarawak.

“Oleh itu, Pustaka mengambil inisiatif dengan mendokumentasikan festival ini di dalam bentuk penerbitan buku sekali gus menambah koleksi kandungan tempatan.
“Saya percaya, dengan maklumat yang terkandung di dalam buku yang diterbitkan hasil usaha daripada Festival Sarawakiana ini nanti pastinya dapat memberi manfaat kepada para pembaca,” ujarnya sekali gus menyatakan ia selaras dengan visi, misi dan objektif penubuhan Pustaka Negeri Sarawak-menjadi wadah maklumat dan ilmu pengetahuan, memelihara warisan intelek serta mempromosi pembudayaan ilmu.
Mengimbas kembali detik permulaan festival berkenaan, beliau memaklumkan, ia julung kali diadakan pada 2010 bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 Pustaka Negeri Sarawak.
“Sejak itu, Festival Sarawakiana dianjurkan setiap dua tahun sekali dengan pelbagai tema yang begitu unik dan menarik di samping pelbagai aktiviti disediakan sepanjang minggu Festival Sarawakiana tersebut berlangsung.
“Di antara tema yang telah ditampilkan pada penganjuran festival sebelum ini adalah seperti Pentas (2019), Daun (2021) serta Seni Sulaman dan Tenunan Tradisional Sarawak (2023) manakala pada tahun ini Warisan Ilmu, Budaya dan Kepercayaan,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, beliau merakamkam penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli panel, fasilitator atau tenaga pengajar dan rakan-rakan kerjasama yang telah menjayakan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang festival ini berlangsung seperti Forum Sarawakiana, Siri Ceramah Sarawakiana, Bengkel Tarian Budaya Suku Kaum Bidayuh, Bengkel Baju Ujan atau Ngepan Batang Rajang, Bengkel Warisan Seni Ukiran Kelembit, Sesi Cerita Rakyat dan Pertandingan Hadrah.
“Aktiviti ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat dan komuniti setempat sehingga terdapat penyertaan untuk beberapa aktiviti terpaksa ditutup lebih awal sebelum tarikh akhir penyertaan.
“Ini membuktikan komuniti kita pada hari ini menjadikan pembudayaan ilmu sebagai teras di dalam kehidupan seharian,”
jelasnya.
Sementara, beliau juga mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Hadrah Nurfatihah Kampung Kudei Baru yang telah berjaya merebut hadiah utama bernilai RM3,000 untuk Persembahan Terbaik; manakala Kumpulan Hadrah Gabungan Seni Warisan telah memenangi hadiah bagi kategori Busana Terbaik dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000; bagi kategori Kumpulan Pilihan Ramai pula telah dimenangi oleh Kumpulan Hadrah Gemar Bakti yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.
“Oleh itu, diharapkan agar seni persembahan hadrah ini yang menjadi identiti kita akan terus diwarisi oleh generasi muda,” ujarnya lagi.




