ARTIKEL

Festival Teater Malaysia Zon Sarawak Perkasa Ekosistem Seni Teater Tempatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Festival Teater Malaysia, Zon Sarawak 2026 menjadi platform penting kepada penggiat teater tempatan untuk mengembangkan bakat dan kreativiti sekali gus mengetengahkan identiti tempatan sebelum melangkah ke pentas kebangsaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Radzi Omar berkata, penganjuran festival melalui enam zon di seluruh negara memberi ruang lebih luas kepada penggiat teater di setiap negeri dan wilayah untuk mengetengahkan kreativiti, bakat serta identiti tempatan.

Menurutnya, tema Zon Sarawak, Naratif Sungai, Hutan dan Manusia turut memberi ruang kepada penggiat menjadikan kekayaan alam, warisan, tradisi dan pengalaman masyarakat sebagai sumber ilham dalam menghasilkan karya berteraskan identiti tempatan.

“Sepanjang tujuh malam pementasan, kita bukan sekadar menyaksikan sebuah persembahan seni, tetapi turut menyelami himpunan pemikiran, pengalaman, aspirasi dan citra kehidupan masyarakat yang diterjemahkan melalui bahasa teater.

“Karya seni yang ditampilkan juga membuktikan bahawa dunia teater Sarawak memiliki potensi, keberanian dan keupayaan kreatif yang wajar terus dibimbing serta diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Festival Teater Malaysia, Zon Sarawak 2026 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan teater bukan sekadar seni persembahan yang menghiburkan, malah berperanan menterjemahkan realiti kehidupan, mengetengahkan persoalan masyarakat dan menyemarakkan pemikiran.

Menurutnya, dalam konteks Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian etnik, bahasa, adat dan warisan, teater mempunyai tanggungjawab besar untuk mengangkat suara masyarakat tempatan serta merakamkan khazanah pengalaman dan kebijaksanaan generasi terdahulu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, agensi kebudayaan, institusi pendidikan, organisasi seni dengan masyarakat penting dalam memperkukuh ekosistem seni.

“Ekosistem seni yang kukuh bukan hanya bergantung pada jumlah program yang dilaksanakan, tetapi juga pada kualiti pembinaan bakat, kesinambungan peluang berkarya, keupayaan institusi serta keberkesanan kerjasama yang diwujudkan.

“Kita juga berharap agar ekosistem teater Sarawak terus berkembang secara sihat, dinamik dan profesional. Usaha memperluas ruang persembahan, memperkukuh pembangunan bakat, membuka peluang berkarya dan membina jaringan kerjasama perlu dilaksanakan secara berterusan,” ujarnya.

Festival Teater Malaysia, Zon Sarawak 2026 berlangsung dari 28 September hingga 4 Oktober dengan penyertaan tujuh kumpulan teater sekali gus menyaksikan Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching menerusi pementasan teater Sumpah Darah Meranti dinobatkan sebagai johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala serta sijil.

Naib johan dimiliki Persatuan Seni Kreatif SIFAR Kuching (Gema Rejang) yang menerima hadiah wang tunai RM7,000 berserta piala dan sijil, manakala tempat ketiga dimenangi SeniWara Arka (Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia) menampilkan teater Derau dengan hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala dan sijil.

Penganjuran festival ini turut memberikan pengiktirafan kepada penggiat seni menerusi hadiah kemenangan serta 10 anugerah khas bagi menghargai pencapaian dan kecemerlangan dalam pementasan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

WFL FC menang bergaya

BINTULU: Akademi WFL FC menutup kempen Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2026 kategori Bawah 12 Tahun dengan bergaya apabila menewaskan Jepak Primary School