ARTIKEL

Filem Tumbukan Emas bakal ditayang 22 Julai ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan komited untuk membangunkan industri perfileman Sarawak sebagai platform penting dalam membantu melonjakkan aktiviti pelancongan di negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia terbukti menerusi penganjuran lebih 293 acara atau program pada tahun lalu yang berjaya menghasilkan keuntungan hasil pelancongan mencecah RM13 bilion.

Katanya, biarpun industri perfileman di Sarawak sedikit ketinggalan berbanding Semenanjung, namun peningkatan yang dilaksanakan saban tahun khususnya mengenai cerita dan pencapaian bersejarah di Sarawak semakin mendapat perhatian ramai.

“Kita sedia maklum industri ini masih belum mencapai kematangan sepenuhnya.

Oleh itu, untuk terus memajukannya, kita memerlukan lebih ramai individu seperti pengarah Kamek Empun Production (KEP), Jalot Jeman untuk tampil dan menghasilkan filem.

“Hanya dengan menghasilkan lebih banyak filem, industri ini akan berkembang maju.

“Justeru, kami menggesa yang mempunyai minat terhadap industri filem untuk mengambil langkah menghasilkan dokumen dan karya lain.

Kementerian kami sentiasa bersedia membantu dalam pembangunan industri ini,” katanya dalam sidang media perasmian pembikinan filem Tumbukan Emas di Hotel Margherita semalam.

Sementara itu, Jalot berkata, pembikinan filem tersebut dilaksanakan sepanjang bulan puasa tahun ini dan dijangka ditayangkan pada 22 Julai sempena sambutan Hari Sarawak.

Tumbukan Emas mengisahkan perjalanan hidup luar biasa Sapok Biki, seorang wira dengan semangat juang yang membara, sehingga mencipta sejarah sebagai anak Malaysia pertama memenangi pingat emas dalam sukan tinju di temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Ia merupakan kisah inspirasi legenda yang menonjolkan keberanian, ketabahan, dan dedikasi seorang anak Malaysia dalam mencipta sejarah dan mengharumkan nama negara di persada dunia.

Sapok Biki pada awalnya menyertai latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Selepas itu, beliau menyertai pasukan tinju rekrut dan hasil bimbingan Pegawai Kanan II Sanusi sehingga diserap ke 21 Artileri, pusat kecemerlangan tinju Tentera Darat.

Dari situlah bermula perjalanan Sapok Biki mengembangkan bakat dalam sukan tinju dan untuk rekod, beliau meraih emas bagi kategori 48 kilogram.

Puncak kejayaannya tiba apabila Sapok terpilih mewakili Malaysia dalam Sukan Komanwel 1998.

Ketika itu, beliau berjaya menewaskan wakil Afrika, Mosses Kinyra dengan kiraan mata 19-13.

Kejayaan itu melakar sejarah buat Malaysia selepas kali pertama merangkul pingat emas dalam tinju Komanwel, sekali gus mengangkat Sapok sebagai seorang ikon sukan negara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU