KUCHING: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) menjalinkan kerjasama dengan TVS dalam merevolusi idea yang kreatif untuk menghasilkan kandungan berkualiti.
Ketua Pegawai Ekeskutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, ini kerana TVS memainkan peranan penting dalam menyiarkan kandungan Sarawak.

Katanya, sebagai stesyen penyiaran, TVS turut mengadakan program melontar idea untuk mengenal pasti kemahuan penonton.
“Di sini FINAS mendapat input daripada TVS untuk kita membangunkan industri kreatif Sarawak dan juga Borneo yang menjadi satu landasan atau platform yang menghasilkan kandungan berkualiti.
“Dengan hasil yang berkualiti kita boleh eksport ke serantau Asean atau global,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) Datuk Norhyati Ismail di pejabat SMG, di sini hari ini.
Turut menyertai kunjungan hormat itu, Timbalan Pengerusi SMG yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TVS Kushairi Abang.
Dalam pada itu, Azmir berkata, FINAS dan TVS turut membincangkan tiga strategi dalam membantu membangunkan industri kreatif.
Katanya, ia membabitkan program melontar idea yang akan diuar-uarkan kepada pihak industri kreatif agar lebih efektif.
“Perkara kedua kita bincang mengenai inisiatif Borneo kerana nampak kandungannya mempunyai keunikkan dan boleh menjual jenama Borneo ini bersama kandungan Sarawak untuk penonton dan pasaran lebih besar.
“Yang ketiga, fokus kepada tahun 2025 iaitu Sidang Kemuncak Asean dengan kita akan menjadi hos kepada sidang kemuncak itu. Kita akan menghasilkan kandungan ke arah strategi Asean,” ujarnya.
Tambahnya, perbincangan turut menjurus menghasilkan kandungan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan Sarawak merupakan salah satu destinasi pelancongan yang lebih dipromosikan melalui kandungan atau filem di TVS.
Dalam perkembangan yang sama Azmir berkata, FINAS bersama TVS akan mengusulkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk kepentingan penglibatan aktif mereka dalam membangunkan industri kreatif.






