Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa industri kreatif di Malaysia Timur menerusi program One Step Closer: Sesi Libat Urus FINAS Bersama Penggiat Industri Sarawak yang diadakan di Auditorium FINAS, Kuching, baru-baru ini.
Program tersebut menghimpunkan 50 peserta yang terdiri daripada agensi kerajaan, persatuan serta para penggiat seni kreatif dari pelbagai latar belakang Sarawak, dengan matlamat menyuarakan pandangan industri dan merapatkan hubungan dua hala antara penggiat dengan agensi.
Program berkenaan turut menampilkan Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, yang kembali memegang jawatan itu untuk kali kedua selepas lima tahun.
Beliau menyatakan rasa syukur atas peluang kedua ini selepas menamatkan tugas di Kementerian Belia dan Sukan.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan untuk kembali menerajui FINAS serta menyatakan rasa bangga kerana dapat bersama wakil daripada Sabah dan Sarawak.
Namun, beliau turut menegur penggunaan frasa “wakil Sabah Sarawak” dan menegaskan bahawa perbezaan tersebut hanyalah dari segi geografi, manakala semangat perpaduan harus terus diperkukuh dalam kerajaan yang inklusif.
Dalam sesi perbincangan panel yang turut menampilkan Ahli Perbadanan FINAS, Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi), dan Gregory Wee Lik Hoo, Datuk Hans menekankan keperluan untuk membangunkan sistem industri kreatif yang mampan, tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar.
Menurutnya, kejujuran dan keberanian dalam membuat keputusan sukar merupakan elemen penting untuk memacu kemajuan industri.
Beliau turut menegaskan bahawa kekangan dana merupakan cabaran utama dan menuntut penciptaan model kerjasama baharu yang lebih lestari.
Menurut Hans, Sarawak memiliki infrastruktur industri kreatif yang mengagumkan, namun beliau menyeru agar penggiat menghasilkan kandungan yang mampu menembusi pasaran global.
Katanya, tanpa tontonan, kandungan sukar berkembang walaupun berkualiti tinggi.
Dalam usaha memperluaskan capaian ini, FINAS membantu dari segi pemasaran, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Namun, beliau mengakui bahawa peruntukan pemasaran masih belum mencukupi dan memerlukan pelaburan besar.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar tumpuan industri diberikan kepada pasaran Asia terlebih dahulu sebelum bercita-cita menembusi pentas Oscar.
“Sudah 23 tahun kita bercakap tentang ‘road to Oscar’, tetapi belum pernah menang.
Saya cadangkan kita beri tumpuan dahulu kepada pasaran Asia.
Jika kandungan kita diterima di Asia, dunia akan terbuka kepada kita,” katanya.
Dari sudut pembangunan modal insan pula, Hans menyuarakan kebimbangan terhadap keberkesanan program latihan yang kurang mendapat sambutan.
Katanya, hanya peserta yang benar-benar berminat dan komited harus dipilih.
Beliau turut mencadangkan model latihan jangka pendek selama tiga bulan untuk semua peringkat umur yang mahu menceburi bidang perfi leman.
Dalam tempoh 90 hari, FINAS melancarkan pelaksanaan program latihan di Sarawak sebagai titik permulaan kepada usaha memulihkan sistem pendidikan industri kreatif negara.
Sementara itu, Zed Zaidi pula menekankan usaha serius FINAS dalam menjaga kebajikan penggiat seni dari Sarawak.
Beliau memaklumkan bahawa terdapat inisiatif untuk membuka caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 1,000 penggiat seni yang belum pernah mencarum melalui kerjasama dengan Persatuan Anak Seni Sarawak.
Google Form khas disediakan untuk membolehkan penggiat seni mengisi maklumat sebelum disalurkan kepada KWSP untuk tindakan lanjut.
Dalam skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula, kerajaan menanggung subsidi sebanyak 90 peratus, manakala baki 10 peratus ditanggung oleh FINAS, melibatkan 4,000 penggiat seni aktif di seluruh negara.
Selain itu, bantuan khas kepada 200 penggiat seni veteran turut diumumkan tahun ini dengan subsidi sebanyak 70 peratus, berbeza dengan bantuan tahun lalu yang memberikan manfaat kepada 230 individu.
Zed turut menekankan keperluan mewujudkan sistem pensijilan dan penggredan yang lebih objektif bagi menilai kelayakan dan pengalaman seseorang penggiat seni.
“Sijil bukan sekadar dokumen, tetapi satu penanda aras terhadap tahap kemahiran, sekali gus menentukan kelayakan individu untuk menjadi tenaga pengajar dalam bidang seni.
Semakin tinggi gred anda, semakin besar peranan dan pengaruh anda dalam industri,” tegasnya.
Dalam lawatan kerja sehari itu, FINAS turut mengadakan Program Ziarah MADANI FINAS 2025 bagi menyantuni penggiat seni yang uzur dan berdepan masalah kesihatan.
Empat penggiat industri kreatif Sarawak telah disantuni, iaitu penulis Abang Zainoren Jess yang mengalami sakit jantung, pengendali kamera Muhammad Nazrin Luat Abdullah yang diserang strok, pelakon pentas teater Kassim Daud yang menghadapi masalah penglihatan, serta pemain muzik Hassani Ismail yang juga menghidap sakit jantung.
Program libat urus ini menjadi bukti kesungguhan FINAS untuk lebih dekat dengan denyut nadi penggiat seni di Sarawak serta mendengar sendiri suara dan cadangan mereka, khususnya dalam merangka pindaan Akta FINAS yang lebih inklusif.
Turut hadir pada program tersebut ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Industri, Mohammad Ar-Riyyan Mohamad Roslan, dan Ketua Penolong Pengarah FINAS Cawangan Sarawak yang mewakili Pengarah FINAS, Maffi zan Saupie.
Komitmen FINAS ini membuka harapan baharu terhadap usaha memperkasa industri kreatif di Malaysia Timur yang selama ini sering dirasakan terpinggir.
Dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan terbuka, industri kreatif Sarawak dilihat mampu melangkah lebih jauh ke pentas serantau dan antarabangsa.



