GEORGE TOWN, Pulau Pinang: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes fitnah melibatkan seorang Ahli Dewan Negara (senator) di Pulau Pinang.
Senator itu kononnya memaksa pengawal peribadinya yang beragama Islam memakan daging khinzir.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata pihaknya telah merekodkan keterangan empat individu, termasuk senator berusia 38 tahun itu, bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.
“Seterusnya, kertas siasatan yang telah lengkap itu akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan dan arahan selanjutnya berhubung kes berkenaan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Pulau Pinang, Ketua Polis Daerah Timur Laut dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Timur Laut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.
Pada Jumaat lepas, polis membuka kertas siasatan susulan laporan polis daripada senator berkenaan pada malam Khamis.
Beliau mendakwa dirinya difitnah kononnya memaksa pengawal peribadinya memakan daging khinzir.
Pengawal peribadinya turut membuat laporan polis untuk menafikan tuduhan itu. – BERNAMA



