KOTA SAMARAHAN: Lebih 50 pempamer memeriahkan pekarangan Dewan Banquet UNIMAS bersempena penganjuran Festival Of Idea (FOI@Sarawak) serta Pesta Buku Borneo 2025 yang berlangsung 22 hingga 26 Oktober ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Profesor Dr Azlinda Azman berkata, penganjuran kali ini dijangka menarik lebih ramai penyertaan.
“Ia sedikit berbeza kerana telah dikembangkan sebelum kita dapat keputusan untuk menyambung program yang sama pada tahun ini berikutan mendapat kelulusan kabinet supaya FOI dijalankan secara tahunan.
“Jadi tahun ini, kita diminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk mempengerusikan FOI sekali gus menjadikan ia satu program besar melibatkan pelbagai kementerian,”katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program di DeTAR UNIMAS, hari ini.
Kedua-dua program terbabit dijadual bakal menyajikan pelbagai aktiviti interaktif dalam usaha memperkukuh keterlibatan komuniti secara bersama.
Pameran bakal melibatkan pelbagai tema, penerbit buku universiti dan swasta, penjual buku, agensi kerajaan, projek komuniti dan wakil industri.
Aktiviti lain termasuklah bengkel penulisan ilmiah dan kreatif, pertandingan deklamasi sajak, dan pertandingan mewarna yang terbuka kepada pengunjung dan warga kampus.
FOI@Sarawak x Pesta Buku Borneo 2025 bertujuan untuk menginspirasi pembentukan masyarakat berasaskan ilmu serta memperkukuh inovasi dan kelestarian selaras visi Sarawak Maju Makmur 2030.






