Fokus kaedah rawatan baharu

KUCHING: Unimas bakal bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan beberapa agensi lain untuk menubuhkan Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit bernilai RM190 juta pada tahun ini.

Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, pusat itu akan memberi tumpuan kepada penghasilan ubat serta kaedah rawatan baharu dalam mengawal dan mengurangkan penyakit berjangkit.

“Penubuhan pusat ini amat signifikan terutamanya berkaitan penularan wabak Covid-19, dan ia membuktikan kepercayaan yang tinggi Kerajaan Sarawak terhadap penyelidik Unimas.

“Unimas diberi tanggungjawab untuk melatih dan membimbing penyelidik di pusat ini kelak,” katanya pada sambutan Jubli Perak Fakulti Ekonomi dan Perniagaan di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra Unimas pada Khamis.

Menurutnya, pusat pengajian itu turut diberi tanggungjawab untuk melatih dan membimbing penyelidik di pusat itu nanti. Beliau turut memberi jaminan pada masa yang sama Unimas berterusan memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam usaha melahirkan graduan berkualiti meskipun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Bagi semester dua sesi 2019/2020 sahaja jelasnya, Unimas menyaksikan lebih 3,790 sesi pengajaran dan 6,300 aktiviti pembelajaran dalam talian berjaya dilaksanakan dengan lancar dan mendapat maklum balas serta penyertaan yang sangat baik daripada pelajar.

“Unimas dengan kerjasama semua pihak turut mengenal pasti dan memberi bantuan khas kepada pelajar yang menghadapi masalah akses Internet. “Ini melibatkan kelengkapan komputer khususnya kumpulan yang berkeperluan serta menyediakan sokongan kaunseling dan kesihatan mental kepada pelajar agar pembelajaran mereka tidak terjejas,” jelasnya lagi.

Antara inisiatif lain yang dirancang ialah mewujudkan ruang Unimas Elevate yang akan menyediakan kelengkapan dan sokongan khas untuk tujuan pengajaran dalam talian.

“Ini termasuk menaik taraf dan memantapkan infrastruktur serta kemudahan teknologi dengan penambahan 714 unit titik capaian, naik taraf ruang simpan dan kemudahan persidangan video,” jelasnya lagi.

Pada majlis berkenaan beliau melancarkan sambutan Jubli Perak Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Unimas serta pelancaran buku bertajuk Unimas Research Excellence – The Colourful Journey of Research & Innovation. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas Tan Sri Sulong Matjeraie