KUCHING: Tanggungjawab menteri kabinet yang memegang dua atau lebih portfolio meliputi sektor berbeza perlu diberi perhatian dengan mengambil kira beban kerja yang semakin bertambah.
ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang berkata, keadaan tersebut dilihat tidak lestari, di samping berpotensi mengurangkan fokus dasar melambatkan pelaksanaan dan menjejaskan akauntabiliti menteri yang terlibat.
“Beban kerja semakin bertambah. Dengan 99 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), lebih ramai ADUN akan membawa isu cadangan dan tuntutan yang memerlukan respons kabinet.
“Had 10 Menteri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan sekarang tidak lagi memadai untuk menangani kerumitan yang kini semakin berkembang” katanya ketika berucap dalam Perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, di sini hari ini.
Beliau yang turut menyatakan sokongan penuh terhadap RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 itu, menegaskan perkara tersebut adalah wajar dalam usaha memperkukuh keupayaan pentadbiran dan mempersiapkan struktur dasar Sarawak menghadapi masa depan seiring Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) Tahun 2030.
Jelasnya, ia juga seiring dengan tanggungjawab pentadbiran Sarawak yang telah berkembang secara mendadak dengan kepimpinan tidak lagi terikat kepada fungsi pembangunan tradisional semata-mata.
“Kita kini tidak lagi terikat kepada fungsi pembangunan tradisional seperti jalan raya dan utiliti, malah Sarawak kini berada di hadapan dalam beberapa hal termasuk transformasi ekonomi digital, pembangunan tenaga hijau, aktiviti perindustrian bernilai tinggi, dan tarikan FDI autonomi di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan tadbir urus kemampuan selari dengan kerangka iklim global” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan perkara itu bukan soal menambah gelaran atau membesarkan eksekutif atas sebab kosmetik.



