Fokus, serasi untuk menang

TIADA banyak perbezaan aksi permainan yang akan dibawa oleh pemain utama skuad Kuching FA untuk musim Liga Premier akan datang. Demikian kata Joseph Kalang Tie selaku pemain tengah skuad tersebut apabila dihubungi oleh Suara Sarawak, semalam.

“Apa yang penting dalam pasukan kami ialah menerapkan semangat kekeluargaan dalam satu pasukan. “Setakat ini, kami masih menjalani proses keserasian antara pemain lama dan pemain baharu termasuk pemain import asing,” katanya.

Jelas beliau, pasukan menekankan aspek kekuatan dan kecergasan sepanjang menjalani latihan sambil meningkatkan kemahiran dalam setiap posisi. “Harapan saya untuk perlawanan nanti akan terus fokus dengan setiap perlawanan tidak mengira di gelanggang lawan atau di laman sendiri,” ujarnya.

Antara pemain tempatan baharu dalam skuad tersebut ialah Paul Sambang, Tommy Mawat dan Andy Nicholas. Manakala pemain import asing yang menjadi tunggak utama pasukan adalah Yuta Suzuki, Akira Higashiyama, Leo Alves dan Yuki Tanigawa.

Kuching FA akan memperkenalkan pemain skuad Liga Premier dan Piala Presiden semasa Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Pasukan Kuching FA pada 9 Februari di Hotel Merdeka Palace.

Suara Sarawak