MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menyita sebuah kenderaan import jenama Ford Mustang yang dipercayai cuba diseludup secara haram pada 7 Oktober lalu.
Pengarahnya, Datuk Norizan Yahya mendedahkan, kenderaan terbabit ditemui di tempat letak kenderaan sebuah premis perniagaan di Sungai Tujuh, Kuala Baram, dalam keadaan bertutup menggunakan kanvas berwarna kelabu.
“Kenderaan tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran yang sah dan disyaki tidak berkastam.
“Nilai sitaan kenderaan itu dianggarkan berjumlah RM679,339.50, manakala anggaran jumlah duti import dan cukai terlibat adalah sebanyak RM1,700,048.25.
“Jumlah keseluruhan nilai sitaan termasuk duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM2,379,387.75,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kenderaan itu dikesan hasil operasi lanjut Zon Risiko Sarawak yang dilaksanakan oleh sepasukan Kastam dari Unit Operasi Darat Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Miri.
Beliau turut mendedahkan modus operandi yang digunakan adalah mengimport kenderaan terbabit tanpa permit daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia.
Tegasnya, kes itu bagaimanapun masih dalam siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.
Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000, yang mana lebih besar, dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang.
Sementara itu, Norizan turut menyeru orang ramai membantu JKDM membanteras jenayah penyeludupan dengan menyalurkan maklumat kepada pihaknya dengan kadar segera.



