KUCHING: Penganjuran Forum Memperkasakan Institusi Ombudsman berpotensi melahirkan masyarakat sivil yang boleh membincangkan isu pemerintahan, integriti serta akauntabiliti awam secara konstruktif.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, program itu merupakan salah satu platform terbaik untuk mengetengahkan peranan sebenar Ombudsman Sarawak dalam kalangan masyarakat.
“Saya tidak kisah berapa ramai peserta yang hadir pada majlis ini, yang penting usaha berterusan untuk memaklumkan kepada semua pihak tentang peranan Kerajaan Sarawak bagi memastikan negeri ini ditadbir secara maju ke hadapan setaraf negara maju lain.
“Ini selaras dengan keinginan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memastikan Sarawak maju menjelang tahun 2030 di bawah rangka program Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Forum Memperkasakan Institusi Ombudsman di Dewan Mulu, Hotel Raia hari ini.
Sebelum ini, program itu disertai kira-kira 70 peserta termasuk wakil pertubuhan masyarakat sivil, golongan belia, profesional serta orang awam.
Juanda berkata, amat penting untuk rakyat mengetahui peranan kerajaan dan kerajaan perlu bersedia bersikap terbuka dengan memaklumkan proses sebenar dalam menjalankan peranan yang dipertanggungjawabkan kepada agensi berkaitan.
“Perkara inilah yang perlu dilaporkan kepada pihak Ombudsman. Lapor dengan bukti, bukan hanya anasir atau cerita. Zaman kini semua benda berada di hujung jari di mana kita boleh mengambil gambar, merakam perbualan.
“Sebab itulah proses pengurusan kerajaan itu bukan hanya dimaklumkan tetapi mesti diketahui dan difahami semua pihak tentang bagaimana proses itu dilakukan,” katanya.
Justeru katanya, program dialog seperti itu adalah baik sebagai platform memberi cadangan bersifat konstruktif dan membina.
Program itu merupakan anjuran SCO Platform For Reform, iaitu sebuah perbadanan yang ditubuhkan susulan satu peralihan politik penting di Malaysia didorong keperluan mendesak untuk pembaharuan institusi.



