ARTIKEL

FOTO saya pilihan BCL

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADA Oktober 2024, saya berpeluang membuat liputan konsert terbesar di Sarawak, iaitu Festival Muzik Borneo Sonic (BSMF) yang berlangsung di Stadium Sarawak.

Bagi saya, ia bukan sekadar konsert, tetapi perayaan muzik yang menghubungkan pelbagai budaya dan bangsa di bawah satu bumbung.

Stadium Sarawak yang biasanya menjadi gelanggang sukan bertukar wajah menjadi pentas gergasi yang dipenuhi cahaya, bunyi dan lautan manusia yang datang dari seluruh dunia.

Konsert ini menampilkan artis antarabangsa ternama seperti Jessi dan Rain dari Korea Selatan serta Bunga Citra Lestari dan Judika dari Indonesia, selain artis tempatan yang tidak kurang hebatnya seperti Dolla.

Dua malam berturutturut, pentas berprestij itu dibanjiri ribuan penonton dari Eropah, Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura dan Malaysia. Kehadiran mereka menyemarakkan lagi suasana hingga saya sendiri terasa seolah-olah berada di pesta muzik dunia.

Seawal hari pertama, pengalaman saya sebagai jurugambar bermula dengan urusan di kaunter pendaftaran media.

Pas jurugambar yang saya terima membolehkan saya bergerak sehingga ke hadapan dan ke sisi pentas.

Namun, pas yang disediakan sangat terhad, iaitu hanya untuk sekitar 10 hingga 15 orang.

Dengan adanya pas eksklusif inilah saya berkenalan dengan seorang jurugambar yang telah lama saya ikuti di Instagram, Taufi q Nadzri.

Pertemuan itu membuka ruang untuk berbual dan berkongsi pengalaman, sekali gus memberikan inspirasi kepada saya. Saat konsert bermula, debaran semakin terasa.

Lampu sorot menari di udara, skrin gergasi memaparkan wajah artis, manakala sorakan penonton menggema hingga ke luar stadium.

Dalam suasana hirukpikuk itu, saya menumpukan perhatian untuk mencari sudut terbaik bagi merakam detik berharga.

Tugas jurugambar bukan sekadar menekan butang kamera, tetapi menangkap emosi dan ekspresi yang hanya berlaku sekelip mata.

Mujurlah, sistem pencahayaan yang disediakan oleh penganjur sangat baik, membolehkan saya menghasilkan gambar yang jelas, dramatik dan penuh cerita.

Selepas persembahan malam pertama tamat, saya pulang dengan hati penuh kepuasan.

Walaupun penat, saya tidak sabar menyunting gambar yang dirakamkan.

Saya terus memuat naik beberapa keping gambar di Instagram.

Saya tidak sangka sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

Ramai rakan memberikan kata-kata positif, malah ada yang berkongsi gambar saya di akaun mereka.

Sokongan itu menjadi suntikan semangat untuk saya kembali pada hari kedua dengan lebih yakin. Hari kedua menyaksikan penonton lebih ramai.

Seawal petang, stadium sudah dipenuhi orang ramai yang tidak sabar menantikan artis pujaan.

Saya bergerak lebih awal ke hadapan pentas kerana tahu ruang bergerak semakin terbatas. Ketika asyik merakam aksi seorang artis, telefon saya berbunyi menandakan terdapat notifi kasi Instagram yang masuk.

Saya terkejut apabila mendapati mesej itu daripada Alam Persada, abang yang juga pengurus kepada penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari atau lebih dikenali sebagai BCL.

Beliau meminta saya menghantar gambar BCL yang saya muat naik di Instagram untuk dipaparkan di akaun rasmi penyanyi tersebut, yang mempunyai lebih 25 juta pengikut. Bayangkan perasaan saya ketika itu bercampur antara gembira, terkejut dengan tidak percaya.

Bagi seorang jurugambar amatur, penghargaan daripada artis antarabangsa merupakan pengiktirafan yang amat bermakna. Ia bukan sekadar peluang untuk dikenali, tetapi penghargaan terhadap usaha kecil yang saya lakukan.

Lebih manis, tidak lama selepas itu saya berpeluang berjumpa sendiri dengan BCL di hadapan pentas.

Beliau hadir bersama-sama suaminya untuk menyaksikan persembahan Judika.

Ketika itu, saya sempat merakam beberapa detik indah mereka, senyuman mesra dan ekspresi santai yang jarang terlihat di pentas.

Detik itu terasa begitu peribadi, seolaholah saya diberi peluang melihat sisi lain yang jarang terlihat pada seorang bintang terkenal.

Pengalaman di festival muzik membuka mata saya tentang dunia fotografi .

Ia bukan sekadar teknik atau peralatan, tetapi bagaimana kita menangkap jiwa sesuatu detik.

Muzik dan fotografi berkongsi persamaan kerana keduanya menyentuh hati manusia tanpa memerlukan banyak kata.

Bagi saya, menjadi jurugambar di festival muzik ini adalah antara pengalaman paling berharga dalam hidup.

Saya belajar bahawa setiap gambar mempunyai cerita, setiap klik kamera membawa makna dan setiap peluang tidak datang dua kali.

Tambahan pula, peluang untuk gambar saya dimuat naik di akaun rasmi artis antarabangsa merupakan sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan. BSMF bukan sekadar konsert terbesar di Sarawak, tetapi pentas yang memberi ruang untuk saya bermimpi lebih besar.

Daripada stadium yang penuh dengan sorakan, lampu berwarna-warni dan melodi yang bergema itu, saya pulang dengan hati penuh inspirasi.

Jika ditanya apakah kenangan paling manis dalam kerjaya saya hingga kini, tanpa ragu, saya akan menjawab: malam ketika BCL menghargai karya kecil saya di Festival Muzik Borneo Sonic, Sarawak.

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU