FOTOGRAFI bukan sekadar menekan butang kamera atau mengambil gambar cantik.
Sebenarnya, ia lebih kepada cara kita melihat dunia, iaitu memahami cahaya, warna dan menangkap momen yang kadang-kadang orang lain terlepas pandang.
Bagi kanak-kanak, fotografi boleh menjadi permainan yang menyeronokkan tetapi penuh pengajaran.
Ia membantu mereka mengekspresikan diri, mengasah kreativiti dan menimbulkan rasa ingin tahu terhadap sekeliling.
Namun, untuk menyalakan minat ini, pendekatan yang sabar dan konsisten amat penting.
Mula-mula, perkenalkan fotografi secara menyeronokkan.
Kamera tidak semestinya mahal.
Telefon pintar, kamera digital mudah alih atau kamera mainan pun sudah mencukupi.
Fokus awal bukan pada hasil yang sempurna, tetapi pada proses mereka meneroka, iaitu bermain dengan sudut, cahaya dan warna.
Biarkan mereka bereksperimen tanpa tekanan.
Dengan cara ini, fotografi menjadi sesuatu yang seronok, bukan tugasan yang membosankan.
Selain itu, pendedahan awal sangat membantu.
Bawa mereka ke galeri seni, pameran fotografi atau tunjukkan karya jurufoto terkenal di rumah. Ceritakan kisah di sebalik setiap gambar.
Kenapa sudut itu dipilih, bagaimana cahaya digunakan atau mesej yang cuba disampaikan.
Aktiviti ini bukan sahaja menambah ilmu visual, tetapi juga membina rasa menghargai seni dan budaya.
Peranan mentor atau sokongan daripada orang dewasa juga penting.
Guru, ibu bapa, atau jurufoto tempatan boleh menunjukkan teknik asas seperti komposisi, fokus, atau pencahayaan. Tetapi lebih penting, beri galakan positif.
Kanak-kanak mudah hilang minat jika terlalu dikritik. Sebaliknya, pujian dan perkongsian pengalaman boleh mengekalkan semangat mereka untuk terus mencuba.
Selain aspek teknikal, nilai bercerita melalui gambar tidak boleh dipinggirkan.
Fotografi bukan sekadar imej cantik, tetapi tentang mesej yang ingin disampaikan.
Galakkan mereka merakam kehidupan seharian seperti haiwan peliharaan, taman permainan atau benda-benda yang menarik perhatian.
Kemudian, biarkan mereka menceritakan kisah di sebalik gambar itu, termasuk apa yang mereka rasa, lihat dan ingin sampaikan.
Aktiviti ini bukan sahaja mengasah kreativiti, tetapi juga kemahiran komunikasi dan empati.
Di dunia digital sekarang, teknologi boleh dimanfaatkan.
Aplikasi mudah alih yang mesra kanak-kanak boleh digunakan untuk menyunting gambar, menambah teks atau efek dan berkongsi dengan rakan atau keluarga.
Aktiviti ini memberi kepuasan segera dan menanam rasa pencapaian.
Namun, ibu bapa atau guru tetap perlu memantau supaya aktiviti ini selamat.
Pertandingan atau pameran mini di sekolah atau komuniti juga boleh menjadi galakan.
Pengiktirafan terhadap usaha mereka, walaupun sederhana, boleh membina keyakinan diri dan semangat untuk terus mencuba.
Apabila kanak-kanak melihat hasil kerja mereka dihargai, minat mereka dalam fotografi akan bertambah.
Kesabaran juga penting.
Fotografi mengajar kanak-kanak bahawa bukan semua hasil datang dengan cepat.
Kadang-kadang mereka perlu menunggu cahaya yang sesuai, sudut yang tepat, atau momen unik.
Kesabaran ini bukan sahaja penting dalam fotografi, tetapi juga membentuk sikap hidup yang positif, iaitu menghargai proses, bukan hanya hasil akhir.
Akhir sekali, ibu bapa dan guru boleh menjadi rakan seiring dalam perjalanan ini.
Apabila kanak-kanak melihat orang dewasa menghargai fotografi, mereka lebih terdorong untuk mengikuti jejak.
Aktiviti bersama, seperti berjalan sambil merakam pemandangan atau sesi fotografi keluarga, boleh mengeratkan hubungan dan menjadikan pengalaman lebih menyeronokkan dan bermakna.
Siapa lagi kalau bukan kita yang akan menemani mereka menjelajah dunia melalui lensa.
Secara ringkas, memupuk minat kanak-kanak terhadap fotografi memerlukan keseimbangan, iaitu antara bermain, belajar dengan bercerita.
Fotografi bukan sekadar hiburan, tetapi medium yang merangsang kreativiti, imaginasi, dan pemikiran kritis. Ia membuka dunia baru, apabila setiap detik dan sudut boleh menjadi sumber inspirasi.
Dengan bimbingan, galakan, dan peluang yang tepat, minat kanak-kanak bukan sahaja boleh dipupuk, malah boleh berkembang menjadi kemahiran berharga sepanjang hayat.
Dalam dunia yang semakin visual dan digital ini, menyalakan minat fotografi sejak awal membantu kanak-kanak melihat dunia dengan lebih peka, menghargai keindahan sekeliling dan mengekspresikan diri secara unik.
Saya berharap setiap kanakkanak diberi peluang memegang kamera, menekan pengatup dan melihat dunia melalui lensa mereka sendiri kerana, melalui fotografi, mereka bukan sahaja belajar melihat, tetapi juga belajar memahami dunia di sekeliling mereka.



