ARTIKEL

FOUDAMOR EXO TERUJA SUHO BERAMBEH KUCHING

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

»KEHADIRAN artis K-Pop membuat persembahan di Borneo Sonic Music Festival 2023 (BSMF2023) seolah-olah satu pencapaian baharu dalam industri hiburan di Sarawak pada 6 dan 7 Oktober lalu. Antara artis K-pop yang menghadiri BSMF2023 ialah Suho dari kumpulan EXO, Taeyang dari BigBang, CL yang merupakan ketua kumpulan 2NE1 dan salah satu ahli kumpulan Girls’ Generation, Hyo.

Suho menghangatkan pentas BSMF2023 pada hari kedua berlangsung dengan membawa enam lagu dari album sulungnya iaitu Grey Suit, Hurdle, Selfportrait, O2, Let’s Love dan Made in You. Pentas itu dihangatkan lagi apabila Suho mengejutkan para peminat dengan membawa lagu judul EXO yang disukai ramai secara berganti-ganti iaitu Growl, Love Me Right dan Overdose.

Suho berkata, dia amat merindui Malaysia dan ini bukan kali pertama dia datang ke Malaysia, namun kali pertama menjejak kaki di Kuching.

“Sebelum ini, saya datang ke Malaysia untuk konsert dengan ahli kumpulan yang lain (EXO). Tetapi kali ini, saya datang dengan membawa kumpulan muzik bagi menyempurnakan persembahan saya. “Saya dapat melihat ada banyak EXO-L (peminat EXO) yang hadir.

“Suasana pada malam konsert sangat panas. Kuching! Kamu semua sangat panas,” katanya dalam bahasa Inggeris di BSMF2023 pada 7 Oktober lalu.

Ketua kumpulan EXO itu juga berjanji kepada peminat untuk kembali ke Malaysia dengan membawa ahli kumpulannya yang lain. Keterujaan para peminat Suho ini dapat dilihat apabila mereka sanggup menyediakan hadiah untuk kunjungan artis tersebut.

KELAB PEMINAT

Foudamour EXO ialah kelab peminat EXO di Sarawak yang menganjurkan pelbagai aktiviti dan mengumpul para peminat. Mereka aktif melakukan aktiviti seperti menyambut ulang tahun EXO, berkumpul dalam satu acara dan sebagainya sejak 2018, namun terhenti kerana kekangan Covid-19 pada 2020.

Menurut wakil daripada kelab Foudamour EXO yang hanya dikenali sebagai Aliya, mereka sangat teruja apabila mendapat berita bahawa ketua kumpulan EXO antara barisan utama artis untuk BSMF2023.

Jelasnya, ia merupakan mimpi menjadi kenyataan kerana ini kali pertama ahli EXO datang ke Kuching secara langsung.

“Kedatangan Suho ke Kuching membuatkan kami kembali aktif dan mempunyai idea untuk mengadakan projek khas iaitu ‘Suho Berambeh Kuching’.

“Projek tersebut meraih sambutan yang menggalakkan daripada peminat EXO terutama Malaysia mahupun Brunei dan ia berjaya dilaksanakan.

“Antara aktiviti projek ini ialah menghasilkan sepanduk ketibaan Suho, warna kod pakaian untuk persembahan Suho pada hari kedua BSMF2023, pembahagian makanan dan sebagainya.

“Tanda pagar (hashtag) #SUHOBerambihKuching trending di aplikasi X pada hari persembahan Suho di BSMF2023. Ia merupakan pencapaian luar biasa bagi kami.

“Kami sangat berterima kasih kepada EXO-L kerana bekerjasama menjayakan projek khas tersebut,” ujarnya kepada Suara Sarawak. Selain itu, Foudamour EXO juga membuat pengumpulan dana bagi kos projek ‘Suho Berambeh Kuching’.

KUMPUL DANA

Dana berjaya dikumpulkan sebanyak RM3,574.60 dan digunakan sepenuhnya termasuk hadiah kepada Suho, SB (kumpulan muzik Suho) dan pengurus Suho. Kata Aliya, mereka memberi hadiah kepada Suho sebagai penghargaan serta mempromosikan Bumi Kenyalang.

Hadiah yang diberi berlambangkan Sarawak seperti kain batik motif Sarawak, pua kumbu, alat muzik sape yang diletakkan dalam bingkai, gelang diperbuat daripada rotan dan banyak lagi.

Hadiah beg untuk Suho merupakan buatan tangan Aliya yang mempunyai kemahiran dalam kraf tangan.

“Ia diperbuat daripada kulit lembu, rotan yang dicelup dengan rebusan daun rotan semalaman supaya warnanya tidak mengelupas dan ukiran ‘KJM’ sempena nama sebenar Suho — Kim Junmyeon. “Saya menggunakan kepakaran yang ada bagi menghasilkan sesuatu yang bermakna kepada Suho.

“Tidak lupa juga kepada kelab peminat EXO dari Brunei iaitu Bruberries kerana menyumbang sejambak bunga kepada Suho,” jelas Aliya.

Di samping itu, masa merupakan cabaran yang dihadapi kerana mereka harus melaksanakan projek tersebut dalam tempoh sebulan lebih. Walaupun sibuk dengan pekerjaan masing-masing, ahli Foudamour EXO berjaya melaksanakan projek sehingga akhir.

Bermula dari mengumpul peminat dalam satu acara kepada memberi hadiah kepada artis itu sendiri, Aliya berharap agar kumpulan EXO datang ke Sarawak bagi menikmati keunikan Bumi kenyalang. Untuk perancangan seterusnya, Foudamour EXO bercadang mengadakan aktiviti sekiranya berpeluang dan mempunyai kelapangan masa.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU