KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) bakal menganjurkan dua aktiviti tumpuan iaitu Pertandingan Perkhemahan Belia dan Kejohanan Futsal Piala Presiden pada Ogos dan November tahun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Presiden SABERKAS, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, hadiah berupa wang tunai yang lumayan akan menjadi tarikan utama penyertaan warga belia di Sarawak terhadap kedua-dua acara terbabit.
“Piala Presiden Futsal SABERKAS menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan.
“Ia akan melibatkan 82 cawangan khas untuk ahli-ahli SABERKAS sahaja dan tawaran hadiah wang tunai yang lumayan sekali akan diumumkan selepas jawatan kuasa selesai mengemas kini perkara berkaitan.
“Saya percaya ramai yang mahu terlibat, satu kelebihannya ia akan merapatkan silaturahim seluruh belia Sarawak yang akan terlibat khususnya dalam sukan futsal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat SABERKAS yang diadakan di sebuah hotel di Kuching, hari ini.
Menurut Karim, lokasi penganjuran kedua-dua sukan terbabit bagaimana pun telah ditetapkan iaitu futsal akan diadakan di Kuching manakala Betong dinobatkan selaku tuan rumah penganjuran perkhemahan belia.
Tegasnya, kedua-dua aktiviti tersebut menjadi pilihan utama penganjur untuk melaksanakannya memandangkan ia merupakan aktiviti pilihan utama belia buat masa kini.
Dalam perkembangan sama, Karim turut mendedahkan pihaknya sedang merancang untuk melaksanakan program literasi kecerdasan buatan (AI) SABERKAS, program Tunas Madani yang akan diadakan di Lundu merupakan program pertanian berkenaan sekuriti makanan di Sarawak.
Karim turut mendedahkan SABERKAS telah melaksanakan sebanyak 244 aktiviti dan program dari bulan November 2024 hingga Jun tahun ini.
“Aktiviti adalah berbentuk program sosial, kebajikan, sukan, rekreasi, kebudayaan, seminar, bengkel, latihan kemahiran dan sebagainya.
“Jumlah itu baru enam bulan, dan kemungkinan besar menjelang hujung tahun ini saya tidak hairan ia mungkin menjangkau sehingga 500 program,” ujarnya.
Terdahulu, majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu.



