KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memuji karakter penyerang muda, Gabriel Nistelrooy Tamin, 25, di sebalik penampilannya pada setiap perlawanan sepanjang siri jelajah skuad terbabit di lima bahagian, baru-baru ini.
Menurut Aidil, penampilannya pada setiap perlawanan amat baik, namun masih banyak yang perlu diperbaiki pemenang Kasut Emas dan Pemain Terbaik Piala MFL pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024/2025 tersebut.
“Dia bagus tapi masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Saya percaya Gabriel mampu lebih mantap selepas ini,” ujar Aidil kepada Arena Suara Sarawak.
Bagi Aidil, Gabriel tidak bermasalah menyesuaikan diri ke arah membentuk persefahaman bersama-sama rakan baharu dalam skuad Kuching City FC.
Pada setiap perlawanan persahabatan yang lepas, Gabriel sentiasa menjadi pilihan Aidil Sharin untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama.
Tidak hanya itu anak jati kelahiran Miri itu yang berjaya mencetak nama selaku penjaring gol dan sentiasa dapat menjadi perhatian peminat dari segenap lapisan masyarakat di kesemua bahagian dikunjungi Kuching City FC.





