Walaupun pernah dibelenggu rasa malu dan kurang yakin terhadap kebolehan diri sendiri, sokongan padu daripada ayah menjadi titik tolak melangkah keluar dari zon selesa dan membina keyakinan secara perlahan-lahan sehingga mampu berdiri megah di atas pentas hari ini.
Anak jati Kuching, Sarawak, Nursharmimi Izzaty Razie, 18, atau lebih mesra dengan nama Mimi membuktikan bahawa keberanian tidak lahir dalam masa sehari, tetapi terbina melalui proses panjang yang dipenuhi usaha, air mata dan semangat yang tidak pernah padam.
Dilahirkan dan dibesarkan di Kuching, Sarawak, Mimi merupakan anak sulung daripada dua beradik.

Sejak kecil, dia sudah menunjukkan minat terhadap seni persembahan, namun perasaan takut ditertawakan dan rasa rendah diri sering menjadi penghalang.
Ayahnya, Razie Ali, 41, atau Razzi Couture merupakan jurusolek, pereka busana serta individu yang aktif dalam dunia seni sentiasa melihat potensi dalam diri anak sulungnya itu.
Dorongan dan kepercayaan tanpa henti seorang ayah menjadi kekuatan terbesar buat Mimi untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Langkah pertamanya dalam dunia pentas bukanlah mudah. Tanpa pengalaman dan pendedahan awal, dia pernah berasa ketinggalan berbanding peserta lain yang lebih berani dan berpengalaman.
Setiap kekurangan dijadikan ruang untuk belajar. Di situlah lahirnya minat mendalam terhadap bidang ratu cantik dan tarian.
Bagi Mimi, penyertaan dalam pertandingan bukan sekadar untuk menang, tetapi peluang untuk mempelajari kemahiran komunikasi, pengucapan awam, disiplin diri serta cara membawa diri dengan penuh keyakinan.

“Dulu saya sangat pemalu dan takut orang memandang rendah. Tapi ayah selalu cakap, kalau kita tidak mencuba, kita takkan pernah tahu sejauh mana kita boleh pergi. Dari situlah saya mula berani,” ujar Mimi ketika mengenang kembali detik awal pelibatannya dalam dunia pentas.
Menariknya, di sebalik setiap penampilan Mimi di pentas, sentuhan kreatif ayahnya sentiasa ada.
Sejak kecil, pakaian pertandingan, solekan dan tatarias diuruskan ayahnya.

Hubungan ini bukan sahaja menguatkan ikatan kekeluargaan, malah menjadikan setiap pertandingan sebagai momen penuh makna buat mereka sekeluarga.
Kini, ayahnya semakin aktif sebagai pereka fesyen, sekali gus memberi nilai tambah kepada Mimi menampilkan gaya dan identiti tersendiri di pentas.
Inspirasi Mimi dalam dunia ratu cantik lahir daripada tokoh-tokoh terkenal seperti Catriona Gray dan Aishwarya Rai.

Selain itu, rancangan bakat antarabangsa turut menyemarakkan lagi semangatnya untuk terus maju.
Melihat figura-figura ini berdiri yakin di pentas besar membuatkan Mimi percaya bahawa impian besar juga layak dimiliki oleh gadis biasa sepertinya.
“Bila saya tengok ratu-ratu cantik dan peserta pentas antarabangsa, saya nampak lebih daripada kecantikan. Saya nampak keberanian, cara mereka bercakap dan cara mereka bawa diri. Itu yang buat saya jatuh cinta dengan dunia ini,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak baru-baru ini.

Walaupun aktif dalam dunia ratu cantik, Mimi mengakui bahawa tarian adalah tempat paling mudah untuknya menjadi diri sendiri. Melalui tarian, khususnya tarian Bollywood, dia dapat mengekspresikan emosi secara bebas dan kreatif.
Namun begitu, ratu cantik tetap menjadi bidang yang paling dekat di hati kerana mengajarnya bahawa kecantikan bukan hanya terletak pada rupa paras, tetapi pada keyakinan, keperibadian dan kebijaksanaan.
Pesanan ayahnya, “Biar kita cantik dan bijak,” sentiasa menjadi pegangan hidup.

Sebagai seorang remaja yang aktif, cabaran terbesar yang pernah dihadapinya ialah membahagikan masa antara pelajaran dan minat seni.
Mimi sentiasa meletakkan akademik sebagai keutamaan walaupun jadual latihannya padat.
Baginya, kejayaan sebenar ialah apabila bakat dan ilmu dapat bergerak seiring.
Disiplin mengurus masa inilah yang membentuknya menjadi seorang yang lebih matang dan bertanggungjawab.
Pengalaman menyertai pertandingan bersama peserta dari Sabah, Indonesia dan Brunei turut membuka matanya tentang kepelbagaian budaya.
Dia belajar menghargai adat dan loghat yang berbeza, di samping memahami bahawa seni mampu menjadi jambatan perpaduan antara masyarakat.
Setiap pentas bukan sekadar ruang pertandingan, tetapi ruang pembelajaran yang luas dan penuh nilai kehidupan.
Kini, selain aktif bertanding, Mimi juga menjadi jurulatih muda kepada kanak-kanak berusia antara 5 hingga 12 tahun.
Dia sering menasihati mereka agar tidak terpengaruh dengan standard kecantikan media sosial yang sentiasa berubah.
Paling penting ialah melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan menikmati proses pembelajaran tanpa tekanan berlebihan.
“Saya selalu pesan pada adik-adik, jangan bandingkan diri dengan orang lain. Cantik itu bukan ikut trend. Cantik itu apabila kita yakin, jaga sikap dan hormat diri sendiri,” jelasnya yang semakin matang membawa peranan sebagai contoh kepada generasi muda.
Antara pencapaian terbaharu yang paling membanggakan buat Mimi ialah kejayaannya meraih tempat kedua kategori solo dalam pertandingan Borneo Star Talent yang berlangsung bersempena Borneo International Consumer Expo 2026.
Kemenangan ini bukan sekadar trofi atau gelaran, tetapi simbol kepada usaha gigih, latihan tanpa henti dan pengorbanan masa yang dilakukannya demi memberikan persembahan terbaik di atas pentas.
Bagi Mimi, detik namanya diumumkan sebagai pemenang menjadi saat yang sukar digambarkan dengan kata-kata kerana ia membuktikan bahawa setiap titik peluhnya selama ini tidak sia-sia.
Lebih membanggakan, pertandingan tersebut menghimpunkan peserta berbakat dari pelbagai wilayah termasuk Sabah, Indonesia dan Brunei, menjadikan saingan amat sengit dan berprestij.
Berpeluang berkongsi pentas dengan wakil dari negara dan negeri lain membuka ruang pembelajaran yang luas buat Mimi, khususnya dari segi persembahan, disiplin dan kepelbagaian budaya yang ditampilkan setiap peserta.
Pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan dirinya, malah menguatkan lagi semangatnya untuk terus melangkah lebih jauh dalam dunia seni persembahan.
Sekiranya diberi peluang mewakili Sarawak atau Malaysia ke peringkat antarabangsa, Mimi berhasrat membawa mesej tentang keunikan budaya dan warisan Malaysia ke mata dunia.
Dia ingin menjadi bukti bahawa latar belakang sederhana bukan penghalang untuk memiliki impian yang besar.
Perjalanan seni Mimi mungkin masih panjang, namun semangatnya jelas: seorang gadis biasa dengan impian luar biasa, yang tidak pernah berhenti melangkah walaupun bermula dengan rasa takut.
Dari halaman rumah yang sempit sebagai tempat latihan pertama, kini pentas besar bukan lagi sesuatu yang mustahil baginya.



