BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda selepas gagal mempamerkan Lesen Perkapalan Dalam Negeri.
Penahanan melalui Operasi Khas Pagar Laut 1/2025, Ops Tiris 3.0 dan Ops permai 01/2019 itu dibuat pada kedudukan lima batu nautika barat laut Kuala Kemena, Bintulu kira-kira 12.10 tengah hari tadi.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati bot tunda tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda warga Myanmar dan seorang kru warga India.


“Kedua -dua mereka masing-masing berusia 28 dan 27 tahun. Bot tunda disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Lembaga Perlesenan Perkapalan Dalam Negeri 1981 iaitu Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang sah tidak disimpan di atas kapal, memperuntukkan hukuman kompaun sebanyak RM5,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, bot berserta dokumen ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.



