KUCHING: Penubuhan Gagasan Bola Sepak Borneo akan merancakkan perkembangan industri sukan itu di rantau ini menerusi kerjasama penganjuran program berkaitan seperti pertukaran jurulatih dan penganjuran pertandingan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA), Fazruddin Abdul Rahman berkata usaha berkenaan sudah semestinya memberi impak positif kepada sukan bola sepak dalam dan luar negara melibatkan Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Bagaimanapun, beliau berkata buat masa ini, pihaknya belum mendapat maklumat terperinci mengenai objektif utama serta gerak kerja penubuhan gagasan itu.
Fazruddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FA Sarawak) menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu yang memaklumkan mesyuarat pertama cadangan pembentukan Gagasan Bola Sepak Borneo telah diadakan di Kuching.
Menurut hantaran itu,persatuan bola sepak di Kepulauan Borneo merangkumi FA Sarawak, Persatuan Bola Sepak Sabah, Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei dan wakil-wakil persatuan bola sepak dari Kalimantan Barat telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan gagasan bola sepak itu. — BERNAMA






