GUA MUSANG: Demi mencari pendapatan tambahan bagi menyara keluarga, seorang pengawal keselamatan di sini tidak mempedulikan bau busuk dan hanyir ketika mengutip barangan yang boleh dikitar semula di tapak pelupusan sampah dekat Kampung Kundur.
Wan Azli Wan Abdullah, 37, berkata beliau melakukan aktiviti berkenaan sejak dua tahun lalu dan mampu meraih sehingga RM400 sebulan.
“Gaji RM1,700 sebulan memang tidak mencukupi untuk menanggung perbelanjaan saya sekeluarga, jadi saya memilih kerja ini walaupun mungkin dipandang rendah oleh sebahagian orang.
“Saya tidak mempedulikan semua itu kerana saya mencari rezeki halal untuk menyara isteri serta anak-anak yang berusia antara empat hingga 10 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak pelupusan sampah itu baru-baru ini.
Beliau yang menetap di Kampung Rahmat berkata antara barangan yang dicari termasuk botol plastik dan tin minuman, dengan semua barangan itu dikumpul dalam tempoh seminggu sebelum dijual kepada pemborong.
“Paling mahal tembaga kerana dapat dijual pada harga RM25 satu kilogram (kg), manakala tin minuman RM3 dan botol plastik 40 sen setiap kg,” katanya.
Wan Azli berkata beliau akan mengutip serta mengasingkan sisa pepejal itu empat hari seminggu, bermula pukul 8 pagi hingga tengah hari.
“Ada kalanya saya datang bersama bapa mentua, Hassan Sudin, 58, yang turut serta mencari sampah untuk dikitar semula. Malah, terdapat hampir 20 individu lain turut mencari rezeki di tapak pelupusan sampah ini,” katanya. — BERNAMA



