Galak nelayan berniaga

KUCHING: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyerahkan projek akuakultur kepada persatuan nelayan untuk mengalakkan mereka terlibat dalam bidang industri perikanan secara lebih meluas dan komprehensif.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata, persatuan nelayan tidak akan terikat dengan industri bersifat tradisional iaitu menangkap ikan sahaja, namun mereka digalakkan terlibat dalam perniagaan.

“Peniaga dan pembeli boleh membeli secara terus di Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Satang Biru tanpa melibatkan orang tengah.

“Ini dapat memendekkan rantaian bekalan dan harga di pasaran menjadi lebih berpatutan,” katanya ketika merasmikan Projek Aqua, Ternakan Udang di Pejabat PNK Satang Biru Telaga Air, semalam.

Beliau berkata, kolam ternakan udang LKIM diserahkan kepada PNK Satang Biru yang diusahakan sejak 90-an lagi.

“Bagi projek akuakultur, PNK Satang Biru menjalankan akuakultur melalui dua fasa iaitu pada fasa pertama seluas 65 hektar manakala fasa kedua adalah 25 hektar.

“Di Satang Biru ini, pengusaha menternak udang harimau serta udang putih. Sebanyak 80 peratus untuk pasaran tempatan manakala 20 peratus bagi pasa- ran eksport,” tambahnya.

Projek itu jelasnya dapat menambah pendapatan persatuan nelayan malah mencapai hasrat dan harapan kerajaan mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Beliau berharap nelayan aktif membantu kerajaan membekalkan bekalan udang yang mencukupi untuk pasaran tempatan.

Suara Sarawak