DALAT: Sebuah Galeri Serao dengan peruntukan berjumlah RM750,000 akan dibina di Kampung Tanam, di sini, di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, galeri tersebut akan dibina di atas tapak lama bangunan sekolah.
“Kawasan ini dipilih kerana terdapat beberapa perkara yang menarik di sekitarnya seperti rumah belanga sagu, gereja dan tebingan sungai.
“Dengan adanya galeri ini, tentunya ia akan menjadi satu destinasi dan tarikan untuk pelancong yang berkunjung ke Dalat,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Sambutan Hari Krismas Kampung Tanam di Dewan Serba Guna Kampung Tanam, di sini.
Sehubungan itu, ujarnya, sebahagian daripada galeri itu kelak akan digunakan untuk menempatkan maklumat mengenai serao iaitu hasil kraf tangan tempatan dan pembuatannya.
Manakala sebahagian lagi akan digunakan sebagai tempat perniagaan dan kedai.
“Saya percaya dengan pembinaan galeri ini kelak, ia bakal mengubah landskap Kampung Tanam dan Dalat secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Tambahnya, beberapa pembangunan juga bakal dilaksanakan di kawasan Dalat pada 2024 termasuk daripada Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Penghulu Kampung Tanam Proper, Kampung Tanam Seberang dan Kampung Balan Rose Josaphat Jepun turut hadir.



