Gandingan pelbagai pihak banteras dadah

MENTERI Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah mendedahkan seramai 80 orang pelajar sekolah menengah di Sarawak dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah tahun ini.

Fatimah menunjukkan pemetaan isu dadah dan substan mengikut daerah di Sarawak.

Mereka dikenal pasti positif menerusi ujian air kencing. Daripada jumlah tersebut, sembilan orang (11.25 peratus) berjaya membebaskan diri daripada penyalahgunaan dadah apabila air kencing mereka negatif dalam ujian kedua dan ketiga sepanjang mereka menjalani sesi rawatan, pemulihan dan kaunseling di sekolah.

Sementara itu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pula menjelaskan jumlah pelajar yang positif dadah di Sarawak menunjukkan penurunan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Kejayaan itu terhasil daripada kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendidikan Sarawak selain kecekapan Polis dan Kastam melakukan rampasan dadah terbesar sekitar bulan Mei dan Jun dengan nilai rampasan RM1.26 juta.

Meskipun pelbagai usaha dilakukan bagi mengekang penularan gejala ini, namun penggunaan dadah masih menjadi masalah besar yang perlu ditangani bersama.

Sehingga kini, ia terus menjadi ancaman utama kepada masyarakat. Lebih menakutkan apabila dadah menyebabkan berlakunya pelbagai kegiatan jenayah lain termasuk pecah rumah, penderaan, keganasan rumah tangga dan lain-lain lagi.

Jika dilihat dalam laporan media sekarang ini, sebahagian besar jenayah ganas seperti membunuh berpunca daripada pengambilan dadah.

Wabak sosial ini mengheret anak muda yang sepatutnya menerajui pimpinan negara pada masa depan.

Lebih menyedihkan, apabila anakanak desa yang dididik dengan nilai agama dan budaya turut tersungkur. Sebanyak 60 peratus daripada mereka dalam kategori remaja dan belia dari umur 13 hingga 39 tahun.

Justeru, tugas membendung dan membanteras gejala ini bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi juga semua rakyat yang sayangkan negara, apatah lagi apabila keluarga terdekat yang terjebak.

Kerajaan pula membelanjakan peruntukan besar untuk menangani gejala dadah termasuk pembinaan pusat pemulihan bagi membantu memulihkan penagih.

Malah, Kerajaan Sarawak melalui Majlis Pembangunan Sosial membuktikan komitmennya untuk membanteras gejala ini melalui pelbagai pendekatan yang lebih bersepadu.

Oleh itu, masyarakat, termasuk ibu bapa perlu memberikan sokongan agar usaha murni ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, seterusnya mendatangkan kesan positif ke atas mereka yang terlibat.

Usaha itu bertujuan membantu dan bukan menghukum mereka. Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) juga perlu lebih proaktif dalam membantu mencegah penularan wabak sosial dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda, sama ada di peringkat kampung mahupun rumah panjang.

Kenal pasti ruang kelemahan yang membawa kepada penularan jenayah, merangka langkah membendungnya selain mencegah melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.

Pada masa yang sama, KMKK tidak boleh berseorangan sebaliknya mereka perlu menjalinkan hubungan baik dan bekerjasama dengan agensi seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), AADK, Rela dan KRT.

Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Saberkas dan kelab-kelab belia juga harus lebih aktif mengadakan pelbagai program bersesuaian bagi menarik penyertaan lebih ramai golongan muda.

Program seperti sukan, keusahawanan, kerjaya, kem motivasi bukan sahaja memberi manfaat besar kepada generasi muda, tetapi juga mampu mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang bermanfaat.

Usah terlalu memberikan kebebasan kepada anak-anak sehingga mereka mudah menerima pengaruh negatif dari luar khususnya rakan sebaya.

Kempen dan program pemulihan perlu terus dilaksanakan namun kerjasama dan sokongan peringkat komuniti sangat diperlukan dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti itu sekiranya berlaku di kawasan masing-masing.

Komitmen itu penting jika kita mahu melahirkan lebih ramai modal insan cemerlang di samping membanteras masalah dalam kalangan masyarakat sekali gus mengelak gejala penagihan dadah ini daripada terus berleluasa.

Suara Sarawak