ARTIKEL

Gambar Hiasan Foto: Mstar

Gangguan seksual lelaki meningkat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

GANGGUAN seksual tidak hanya berlaku pada golongan wanita tetapi lelaki juga banyak yang menjadi mangsa.

Baru-baru ini media nasional melaporkan sejumlah 351 orang atau 28.9 peratus daripada mereka yang memfailkan laporan gangguan seksual dengan Pusat Sokongan Sosial Yayasan Kebajikan Negara adalah lelaki.

Pusat tersebut merekodkan seramai 1,213 orang melaporkan gangguan seksual sepanjang berlangsungnya 12 siri Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual yang dilancarkan pada Mei lepas.

Pada awal bulan ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut mengatakan terdapat pertambahan ketara bilangan mangsa gangguan seksual dalam kalangan lelaki.

Majoriti kes yang dilaporkan oleh lelaki adalah gangguan yang dibuat menggunakan jenaka lucah.

Laporan itu turut mengatakan bahawa Kelantan mencatatkan jumlah laporan tertinggi daripada lelaki iaitu 52 kes dalam tempoh 6 Julai hingga 2 Oktober.

Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan secara global berkenaan isu gangguan seksual yang melibatkan lelaki.

Sebagai contoh di United Kingdom (UK) sahaja, Kerajaan UK mengeluarkan data bahawa sekitar 72,000 lelaki dirogol dan diserang secara seksual di negara itu.

Lebih daripada satu daripada 10 (12 peratus) rogol di UK adalah terhadap lelaki dan data akhir September 2013 turut melaporkan sejumlah 2,164 kes rogol dan serangan seksual terhadap lelaki berumur 13 tahun dan ke atas.

Lelaki yang menghadapi gangguan seksual ini mengalami pelbagai emosi dan cabaran, sama seperti mangsa wanita.

Banyak kes gangguan seksual lelaki tidak dilaporkan kerana stigma masyarakat, menyebabkan golongan ini mungkin teragak-agak untuk tampil ke hadapan kerana stereotaip masyarakat bahawa lelaki harus kuat dan tahan daripada gangguan.

Akibat bimbang aduan mereka tidak diambil serius atau diejek, akhirnya mendatangkan akibat teruk kepada golongan lelaki.

Gangguan seksual menyebabkan mangsa lelaki trauma dalam emosi dan psikologi, tekanan, kebimbangan, kemurungan, selain menjejaskan harga diri dan prestasi kerja mereka.

Justeru, adalah penting bagi mangsa lelaki untuk mengetahui hak undang-undang mereka dan melaporkan insiden gangguan seksual jika ada.

Pihak organisasi dan institusi juga harus mewujudkan persekitaran yang selamat agar mangsa lelaki berasa selesa melaporkan kejadian gangguan seksual.

Selain itu, sediakan program latihan dan kesedaran yang menangani isu ini untuk semua orang, tanpa mengira jantina.

Lelaki yang mengalami gangguan seksual harus digalakkan untuk melaporkan kejadian tersebut kepada majikan mereka, sumber manusia atau pihak berkuasa yang berkenaan.

Sokongan harus tersedia sama ada melalui perkhidmatan kaunseling atau talian bantuan.

Kesimpulannya, gangguan seksual ialah isu yang memberi kesan kepada orang ramai tanpa mengira jantina dan adalah penting untuk kita menanganinya secara menyeluruh.

Mewujudkan persekitaran selamat dan menyokong untuk semua individu supaya melaporkan serta mendapatkan bantuan bagi gangguan ini, adalah langkah penting ke arah memerangi masalah gangguan seksual dan mempromosikan kesaksamaan jantina.

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU