MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak mematahkan cubaan menyeludup dadah susulan rampasan ganja dan bunga ganja seberat 4.47 kilogram yang dianggarkan bernilai RM204,064 dalam satu operasi di sini, Februari lalu.
Pengarah Kastam Negeri, Datuk Norizan Yahya berkata, rampasan dilakukan pasukan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Miri dengan bantuan Khidmat Anjing Pengesan (K9) selepas menerima maklumat daripada Zon Risikan Sarawak.

Beliau menjelaskan, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari pada 16 Februari itu, pegawai kastam telah memeriksa tiga bungkusan kiriman di sebuah syarikat kurier di Eastwood Industrial Park, Jalan Miri-Bypass.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua bungkusan mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 3,444 gram, manakala satu lagi bungkusan mengandungi tiga paket bunga ganja seberat 1,028 gram,” katanya pada sidang media hari ini.
Norizan berkata, modus operandi sindiket adalah dengan mengisytiharkan barangan tersebut sebagai alat ganti kenderaan dan produk pelabelan bagi mengaburkan mata pihak berkuasa.
Menurutnya, bekalan dadah itu dihantar menggunakan perkhidmatan kurier dari Kuala Lumpur ke Miri dengan menggunakan maklumat kiriman palsu.
Katanya, setakat ini tiada individu tampil menuntut kiriman berkenaan dan kesemua barang kes disita mengikut Seksyen 30(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Norizan menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dadah, rokok, minuman keras, mercun serta kenderaan melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam berdekatan.



