ARTIKEL

Sim (tengah) bersama Dexter Lau (dua kanan) serta tetamu kehormat lain menunjukkan roti Gardenia selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara anak syarikat Gardenia, Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan Sanjung Etika Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Yayasan Sarawak dan Kerajaan Sarawak, bagi penubuhan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn. Bhd. Foto Ghazali Bujang

Gardenia buka kilang pertama di Sarawak, cipta 500 peluang pekerjaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jenama roti terkenal, Gardenia, bakal membuka kilang pembuatan pertamanya di Sarawak menerusi pelaburan awal berjumlah RM30 juta, sekali gus dijangka mewujudkan 500 peluang pekerjaan baharu untuk anak tempatan.

Pelaburan berkenaan dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara anak syarikat Gardenia, Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan Sanjung Etika Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Yayasan Sarawak dan Kerajaan Sarawak.

Kerjasama strategik itu akan menyaksikan penubuhan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn. Bhd., sebuah syarikat usaha sama yang menggabungkan kepakaran Gardenia dalam pembuatan produk bakeri dengan usaha pembangunan modal insan dan komuniti oleh Yayasan Sarawak.

Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, penubuhan syarikat itu bukan sekadar membawa operasi pengeluaran Gardenia ke Sarawak, malah membuka lembaran baharu kepada pembangunan sosioekonomi negeri.

“Hari ini bukan sekadar majlis menandatangani sehelai kertas. Hari ini ialah titik permulaan kepada satu lembaran baharu dalam industri makanan dan sosioekonomi di Sarawak.

“Dalam tempoh tiga bulan akan datang, kami akan memasuki fasa Perjanjian Usaha Sama (JV) dan Perjanjian Pemegang Saham bagi menubuhkan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn. Bhd.,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani MoU tersebut yang ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Datuk Lau Kok Sing dan Pengarah Sanjung Etika Sdn. Bhd., Datuk Hatta Solhi di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.

Majlis itu turut disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta dihadiri Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin.

Mengulas lanjut, Dexter berkata, KTC telah mengenal pasti tanah seluas 7.56 ekar di Kota Samarahan bagi membina kilang Gardenia dan sebaik sahaja mula beroperasi pada 2027, ia dijangka membuka sehingga 500 peluang pekerjaan baharu kepada anak Sarawak, khususnya graduan dan tenaga kerja mahir.

Beliau berkata, Gardenia Bakeries (Sarawak) turut akan memperkenalkan Gardenia Edisi Sarawak, iaitu rangkaian produk dan pembungkusan khas yang diinspirasikan daripada identiti serta warisan budaya Sarawak untuk dipasarkan ke seluruh negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap sokongan berterusan daripada Kerajaan Sarawak dapat mempercepat pelaksanaan projek berkenaan demi manfaat ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam mewujudkan nilai jangka panjang menerusi inovasi, kecemerlangan operasi dan pertumbuhan perniagaan yang mampan.

Menurutnya, kerjasama strategik tersebut membuktikan keyakinan kedua-dua organisasi bahawa kolaborasi antara sektor awam dan swasta memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan industri serta meningkatkan daya saing ekonomi Sarawak.

“Melalui gabungan kekuatan yang dimiliki, kami berhasrat membangunkan sebuah perusahaan pembuatan bakeri halal moden yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, memperkukuh rantaian bekalan tempatan, menggalakkan inovasi industri serta menyokong pertumbuhan sektor pembuatan makanan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, sebagai anak syarikat milik penuh Yayasan Sarawak, Sanjung Etika bukan sahaja diberi tanggungjawab untuk mencapai kecemerlangan komersial, malah menjana pulangan mampan bagi menyokong misi yayasan itu dalam memperluas peluang pendidikan kepada rakyat Sarawak.

“Setiap kejayaan perniagaan yang dicapai akan disalurkan kepada pelbagai inisiatif termasuk biasiswa, bantuan pendidikan, pembangunan bakat serta program yang memperkasa generasi muda negeri ini.

“Setiap pelaburan yang kami lakukan hari ini juga merupakan pelaburan untuk masa depan Sarawak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama berkenaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan menerusi penyediaan peluang latihan industri, latihan praktikal, pemindahan pengetahuan dan peningkatan kemahiran.

Menurutnya, inisiatif tersebut akan mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan industri, sekali gus melahirkan tenaga kerja yang bersedia memenuhi keperluan masa depan serta menyokong aspirasi Sarawak dalam aspek keselamatan makanan, pembangunan industri dan daya tahan ekonomi.

Justeru, beliau yakin kerjasama yang dibina berasaskan kepercayaan, nilai bersama dan komitmen jangka panjang itu mampu memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi, di samping menjana impak ekonomi dan sosial yang lebih luas kepada rakyat Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Golf Senior Pacu Pelancongan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka