KUCHING: Cef Sarawak mencipta kejayaan gemilang di pentas Global Chef Challenge Malaysia 2026 apabila merangkul gelaran juara keseluruhan, pingat emas serta pengiktirafan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan reputasi negeri ini dalam bidang gastronomi dunia.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng berkata, kejayaan itu merupakan detik bersejarah bukan sahaja kepada Sarawak, malah Kuching dalam usaha memperkukuh kedudukan sebagai Bandar Gastronomi.
“Pencapaian ini membuktikan keupayaan cef tempatan bersaing di peringkat antarabangsa apabila berjaya mengatasi lebih 200 penyertaan dari seluruh dunia.
“Justeru, ia menyerlahkan keupayaan cef Sarawak bersaing di peringkat antarabangsa dengan lebih 200 penyertaan dari seluruh dunia.
“Pencapaian ini adalah hasil latihan berterusan, disiplin tinggi serta kerjasama untuk memelihara ekosistem kulinari di Sarawak,” katanya pada sidang media Global Chef Challenge Malaysia di MBKS, kelmarin.
Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Zaiedi Suhaili.
Tambah Wee Hong, penyertaan Kuching sebagai sebahagian daripada Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO dalam bidang kulinari turut membawa tanggungjawab besar dalam mengekalkan warisan makanan tradisi, selain memacu inovasi industri.
“Sarawak kini bukan sekadar menyertai pertandingan malah mampu mewujudkan standard baharu dalam bidang kulinari.
“Kami juga menyokong usaha berterusan MBKS dalam memupuk kerjasama industri, membantu pembangunan bakat serta mempromosikan gastronomi Kuching ke peringkat global.
“Matlamat kita adalah menjadikan Kuching sebagai hub peneraju dalam bidang gastronomi dunia, sekali gus memacu ekonomi pelancongan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bee Gastronomy Vera Chin yang juga juri panel pertandingan berkata kejayaan tersebut merupakan hasil usaha kolektif pelbagai pihak dalam ekosistem kulinari.
“Kerjasama daripada institusi pendidikan, sektor swasta, usahawan dan komuniti kulinari amat penting untuk pencapaian ini.
“Kemenangan itu milik Sarawak, bukan milik individu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sarawak turut mencatat pencapaian cemerlang apabila meraih keseluruhan 12 trofi, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi dalam edisi pertandingan berkenaan.
Terdahulu, para peserta GCCM 2026 dari Kuching mencuri tumpuan apabila bersaing di pertandingan yang berlangsung di Dewan Suarah Bintulu pada 15
dan 16 April lalu.
Peserta yang berjaya di peringkat itu akan melangkah ke pertandingan peringkat lebih tinggi yang dijadualkan berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dan Seremban pada 21 hingga 24 Julai depan.
Antara yang mendominasi senarai kemenangan di Bintulu ialah Bee Gastronomy Group, diikuti Sampan House, The Sarawak Club, Kuching Skills College, Imperial Hotel, Yahos School of Skill, Own Cheng Xi serta Jonathan Liaw Ting Hui.
Turut mencatat kejayaan ialah UCSI University, Chai Han Wen, De Waiting Hall, Koh Ah Min dan Yeo Siew Ching yang masing-masing membawa pulang pingat dan piala dalam pertandingan berprestij ini.



