KUALA LUMPUR: Pemain golf profesional utama negara, Galvin Kyle Green mempunyai satu misi iaitu melakukan yang terbaik untuk layak ke Kejohanan Terbuka British 2024 apabila bersaing pada Terbuka Malaysia di The Mines Resort & Golf Club, Seri kembangsan, dekat sini, mulai hari ini.
Pemain berusia 30 tahun itu berkata walaupun Terbuka Malaysia diadakan di laman sendiri, beliau akan tetap memberikan aksi terbaik kerana ia bukan jaminan untuk mendapatkan tiga tempat teratas untuk beraksi dalam kejohanan golf tertua di dunia yang akan diadakan dari 18 hingga 21 Julai di Kelab Golf Royal Troon di Scotland.
“Walaupun ini di laman sendiri, semua pemain berpotensi untuk mendapatkan tiga tempat itu.
Saya memfokuskan diri untuk mendapatkan tempat, jika berjalan lancar, siapa tahu apa yang akan berlaku pada hari Ahad (akhir),” katanya kepada media ketika ditemui di sini semalam.
Gavin, yang mengetuai barisan 30 pemain tempatan dalam kejohanan itu, berkata beliau mempunyai rancangan yang sangat baik untuk cemerlang dalam kejohanan tersebut dan layak ke Terbuka British.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau berpeluang untuk muncul sebagai juara Terbuka Malaysia, katanya: “ Semua pemain negara berpeluang untuk menaiki podium.”
“Ia hanya bagaimana melaksanakan tugas…itulah bahagian yang paling sukar.
Jika anda bermain dengan baik dan ada pemain yang lebih baik…maka anda tidak boleh berbuat banyak mengenainya,” katanya.
Sejak pengenalan Terbuka Malaysia pada 1962, tiada pemain negara yang memenangi kejuaraan tersebut.
Mendiang P. Gunasegaran adalah satu-satunya pemain tempatan yang hampir merangkul kemenangan tetapi menduduki naib juara bersama berikutan ‘play-off’ tiga penjuru yang dimenangi oleh pemain Sweden, Joakim Haeggman pada 1994. – BERNAMA


