Sambutan Hari Gawai Dayak yang diraikan pada 1 dan 2 Jun setiap tahun sentiasa dinanti-nantikan oleh masyarakat Dayak di Sarawak.
Perayaan yang menjadi simbol kesyukuran selepas musim menuai itu bukan sahaja meriah dengan pelbagai aktiviti kebudayaan, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim melalui amalan kunjung-mengunjungi.

Budaya kunjung-mengunjungi semasa Gawai telah lama menjadi tradisi yang sinonim dengan masyarakat Dayak, khususnya kaum Iban.
Tradisi ini terus dipelihara kerana mampu menyatukan keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan masyarakat pelbagai kaum dalam suasana yang penuh mesra dan harmoni.
Setiap kali tiba musim Gawai, rumah-rumah panjang dan kediaman penduduk akan dibuka untuk menerima kehadiran tetamu.
Tidak kira sama ada mereka terdiri daripada ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sekerja mahupun kenalan baharu, semuanya disambut dengan tangan terbuka.
Amalan tersebut menggambarkan sifat ramah dan sikap keterbukaan masyarakat Iban dalam menerima tetamu.
Bagi mereka, kehadiran tetamu merupakan satu penghormatan yang mencerminkan hubungan baik sesama manusia.
Melalui kunjungan ke rumah terbuka Gawai, masyarakat daripada pelbagai latar belakang berpeluang mengenali budaya dan adat resam kaum Iban dengan lebih dekat.
Pengalaman tersebut sukar diperoleh sekiranya hanya dipelajari melalui buku atau media sosial semata-mata.
Pada sambutan Gawai yang lalu, saya bersama-sama rakan-rakan berkesempatan mengunjungi Rumah Minggu, sebuah rumah panjang di kawasan Mukah.
Rumah panjang yang dahulunya terletak di hujung daerah Mukah itu kini dipindahkan ke seberang sungai, sekali gus membolehkan kami berkunjung tanpa perlu menggunakan perahu.
Akses jalan raya juga semakin baik, sekali gus memudahkan kami mengunjungi rumah panjang lain di kawasan tersebut.
Melihat keadaan jalan raya itu, saya teringat akan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian, Royston Valentine iaitu beliau tidak akan meminggirkan masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar.
Buktinya, pihak kerajaan menyediakan akses jalan raya kepada penduduk agar mereka turut menikmati pembangunan di kawasan masing-masing.
Katanya, pembangunan secara drastik mungkin sukar dilaksanakan di kawasan luar bandar, namun usaha terus dilakukan bagi membolehkan penduduk menikmati manfaat pembangunan secara berperingkat.
Dengan adanya akses jalan raya seperti ini, masyarakat lain selain kaum Iban juga lebih mudah mengamalkan budaya kunjung-mengunjungi semasa Gawai.
Sehubungan itu, tetamu yang berkunjung ke rumah panjang dapat melihat sendiri cara hidup masyarakat Iban yang masih mengekalkan pelbagai elemen tradisi walaupun berdepan arus pemodenan.
Malah, ramai yang mengambil peluang untuk memahami struktur rumah panjang yang menjadi lambang identiti masyarakat Iban sejak dahulu.
Rumah panjang bukan sekadar tempat tinggal, tetapi turut menjadi pusat aktiviti sosial, kebudayaan dan kemasyarakatan.
Selain itu, kunjungan semasa Gawai turut membuka ruang kepada masyarakat luar untuk mengenali pakaian tradisional Iban yang kaya dengan nilai seni dan warisan budaya.
Keindahan busana tradisional yang dipakai semasa perayaan sering menarik perhatian para pengunjung.
Tetamu juga berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan seperti tarian ngajat yang menjadi kebanggaan masyarakat Iban.
Persembahan tersebut bukan sahaja menghiburkan, malah memperkenalkan sejarah dan identiti komuniti tersebut kepada generasi muda.
Bagi generasi muda, pengalaman mengunjungi rumah terbuka Gawai memberikan pendedahan secara langsung tentang warisan budaya yang perlu dihargai dan dipelihara.
Lebih penting, tradisi kunjung-mengunjungi dapat mengikis salah faham serta menggalakkan sikap saling menghormati antara kaum.
Apabila masyarakat memahami budaya satu sama lain, hubungan yang terjalin menjadi lebih erat dan harmoni.
Keunikan Gawai juga terletak pada keterbukaan masyarakat Dayak yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran tetamu tanpa mengira bangsa dan agama.
Nilai tersebut menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada keharmonian masyarakat di Sarawak.
Menerusi amalan kunjung-mengunjungi, pelbagai lapisan masyarakat dapat bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan memperkukuh hubungan persahabatan yang telah lama terjalin.
Budaya tersebut juga menjadi medium untuk menyemai nilai hormat-menghormati, toleransi dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Justeru, budaya ini wajar diteruskan dan diwariskan kepada generasi akan datang agar nilai-nilai murni yang terkandung dalam budaya tersebut tidak luput ditelan zaman.
Kemeriahan sambutan Hari Gawai Dayak bukan hanya terletak pada perayaan itu sendiri, tetapi juga pada peluang yang diwujudkan untuk mengeratkan silaturahim, memperkukuh perpaduan serta memperkenalkan keindahan budaya masyarakat Iban kepada masyarakat pelbagai kaum dan generasi.



