ARTIKEL

GAYA JALANAN BINA KEYAKINAN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Fesyen jalanan menjadi medium bagi generasi muda mengekspresikan identiti, keyakinan diri dan keperibadian masingmasing.

Pendekatan itu diterapkan menerusi Junior Model Search 2026 anjuran RAZZ Couture dengan kerjasama JUH Shopping yang mengetengahkan konsep pakaian jalanan sebagai ruang untuk peserta tampil selesa, yakin dan berani menyerlahkan diri di pentas peragaan.

Pengasas RAZZ Couture, Razie Ali atau lebih dikenali sebagai Razz, berkata pertandingan sulung yang berlangsung di pentas The Hills itu menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan 28 peserta dari pelbagai daerah di Sarawak, selain peserta dari Johor dan Melaka.

Menurutnya, penganjuran Junior Model Search 2026 memberikan penekanan kepada tiga elemen utama, iaitu keyakinan diri, pengenalan produk tempatan serta nilai budaya dan kesopanan.

“Kami mahu melahirkan bukan sekadar wajah yang tampan atau cantik, tetapi model muda yang berkarisma, berilmu dan beradab.

“Justeru, kami melihat pertandingan ini sebagai satu platform pembangunan sahsiah, bukannya sekadar pertandingan populariti,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak pada acara tersebut, Sabtu lalu.

Pertandingan ratu cantik cilik bertemakan pakaian jalanan ini mengetengahkan gaya yang dekat dengan jiwa anak muda melalui penampilan yang selesa, asli, praktikal dan relevan dengan kehidupan harian.

Pertandingan ini memberikan kebebasan sepenuhnya kepada peserta untuk menyerlahkan keperibadian sebenar secara inklusif tanpa sebarang sekatan.

Selain mencerminkan jiwa muda Sarawak yang berakar pada identiti tempatan namun berani melangkah ke hadapan, Razie berkata, pentas ini turut melatih peserta membina keyakinan diri untuk bergaya dengan bijak, bukannya sekadar bersandarkan rupa luaran semata-mata.

Razie berkata, peserta turut diberikan pendedahan untuk membina keyakinan ketika bercakap di hadapan khalayak, memperkenalkan diri, memahami tanggungjawab, mematuhi disiplin masa serta menghormati orang lain.

Katanya, latihan dan sesi peragaan secara langsung membantu peserta mengawal perasaan gementar, menyusun ayat dengan lebih teratur serta membiasakan diri.

berkomunikasi di hadapan orang ramai.

“Ramai peserta pada awalnya malu untuk bercakap, tetapi selepas melalui sesi latihan, mereka mula mampu memperkenalkan diri dengan lebih tenang.

“Perubahan itu penting kerana kemahiran berkomunikasi dan keyakinan diri bukan sahaja berguna di pentas, malah menjadi asas penting dalam pembelajaran serta kehidupan seharian,” jelasnya.

KEPUTUSAN PERTANDINGAN

Kemuncak acara menyaksikan persaingan sengit antara peserta dalam dua kategori yang dipertandingkan.

Bagi Kategori A (5 hingga 9 tahun), gelaran juara diraih oleh Nur Zaskia Mikhayla Mohamad Zakaria, manakala Nur Dini Aiman muncul sebagai naib juara dan Siti Nur Alina Alisya Mohamad Naimiqhail menduduki tempat ketiga.

Bagi Kategori B (10 hingga 15 tahun) pula, Nurqistina Batrisyia Samsudin dinobatkan sebagai juara, diikuti Nur Dini Arsyad di tempat kedua dan Mettachan Yu Mei Yi di tempat ketiga.

Dalam pada itu, aspek pendidikan turut diberikan perhatian bagi memastikan penyertaan dalam pertandingan tidak menjejaskan tanggungjawab peserta sebagai pelajar.

Razie berkata, pihaknya menetapkan bahawa sekolah dan pelajaran perlu sentiasa didahulukan, manakala latihan diadakan pada hujung minggu atau waktu petang yang tidak mengganggu sesi persekolahan dan waktu rehat.

“Ibu bapa turut terlibat dalam perancangan jadual dan kami tidak membenarkan sebarang aktiviti yang mengganggu waktu belajar atau rehat kanak-kanak.

“Lebih menarik, penampilan bukan satu-satunya kriteria penilaian kerana juri turut menilai keyakinan, gaya diri, kemahiran komunikasi, sikap, etika, disiplin serta keupayaan peserta memahami tugasan yang diberikan,” ujarnya lagi.

Malah, beliau berkata, peserta perlu mampu menerangkan atau memperkenalkan produk dengan cara yang jujur dan tepat, sekali gus memberikan pendedahan awal mengenai tanggungjawab seorang model ketika mewakili sesuatu jenama atau produk.

Menurutnya, penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak turut menjadi aspek yang tidak dipandang ringan kerana imej yang dibina di alam maya boleh memberikan kesan terhadap kehidupan mereka.

“Kami mahu mengajar peserta bahawa perkara yang dikongsi di media sosial ialah cerminan diri.

“Keindahan sebenar bukan hanya pada rupa luaran, malah turut bergantung pada perwatakan baik.

“Kami membimbing mereka supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, beretika dan bertanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu, jelasnya, taklimat khas turut diberikan kepada peserta dan penjaga sebelum acara berlangsung, meliputi etika di pentas dan di luar pentas, disiplin, tanggungjawab serta batasan dalam dunia peragaan.

Aspek keselamatan dan perlindungan peserta bawah umur turut diberikan keutamaan apabila penjaga dibenarkan hadir sepanjang latihan dan acara berlangsung.

Razie berkata, privasi peserta turut dijaga apabila sebarang gambar atau rakaman hanya disiarkan selepas mendapat kebenaran bertulis daripada ibu bapa.

“Pasukan petugas khusus turut memantau keselamatan kanak-kanak sepanjang acara dan tiada sesiapa dibenarkan berinteraksi secara bersendirian dengan peserta tanpa pengetahuan penjaga serta penganjur,” katanya.

Mengulas peluang selepas pertandingan, Razie berkata, peserta yang menunjukkan potensi berpeluang disenaraikan sebagai duta muda untuk acara anjuran rakan strategik, termasuk JUH Shopping, acara fesyen tempatan serta kerjasama dengan pihak pengiklanan dan media di Sarawak.

Bagaimanapun, beliau mengakui pihaknya tidak mahu memberikan janji kosong kepada peserta dan ibu bapa, sebaliknya berusaha membuka ruang jaringan yang sah, telus dan selamat dengan pihak industri yang dipercayai.

Bagi jangka panjang, katanya, RAZZ Couture menyasarkan Junior Model Search berkembang daripada pertandingan tahunan kepada platform pembangunan bakat secara berterusan.

“Kami mahu melihat peserta yang menyertai pertandingan hari ini kembali pada tahun-tahun akan datang sebagai pembimbing, kru atau memegang peranan dalam penganjuran.

“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun, kami berharap dapat melahirkan ekosistem yang membolehkan anak muda Sarawak berdiri teguh dalam industri fesyen, peragaan dan komunikasi dengan identiti diri, akhlak serta daya saing pada peringkat serantau,” katanya.

Junior Model Search 2026 turut mendapat sokongan The Hills, JUH Shopping, ALTHEA Collection dan Fly Fly Management.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU