KUCHING: Peranan ibu bapa sangat penting dalam memantau dan mengawal aktiviti anak-anak di bawah umur khususnya dalam penggunaan telefon bimbit.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi lebih-lebih lagi apabila mereka dalam lingkungan usia 12 tahun.

“Mereka menganjak ke alam remaja dan terdapat perubahan hormon dalam diri kanak-kanak ini, dalam istilah Islam segelintir mereka sudah baligh.

“Apabila sudah baligh, mereka sudah mempunyai nafsu dengan lawan jantina dan mungkin ada perasaan berbeza apabila mereka bersentuhan dan sebagainya,” kata beliau.

Fatimah berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan bersama-sama seorang klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Lorong Greenwood di sini, Khamis.

Negara gempar apabila berlaku kes kanak-kanak berusia 12 tahun merogol anak asuhan ibunya berusia empat tahun dipercayai terangsang selepas menonton video lucah.

Menjelas lanjut tentang kes tersebut, beliau berpendapat bahawa kanak-kanak itu masih belum matang dan tidak tahu implikasi perbuatan merogol.

“Kanak-kanak tidak dapat mengawal nafsu mereka sendiri dan tidak tahu bahawa perbuatan tersebut boleh dikenakan hukuman.

“Mereka tidak tahu bahawa dengan menonton video lucah dapat mendatangkan pelbagai perkara negatif dan mendatangkan risiko kepada diri sendiri,” ujarnya.

Beliau menasihati ibu bapa supaya memantau aktiviti anak-anak apabila menggunakan telefon bimbit kerana banyak perkara dapat dicapai dengan mudah melalui teknologi ini.

“Ibu bapa sepatutnya menjelaskan kepada anak-anak tentang perkara yang boleh ditonton dan tidak boleh supaya mereka tahu apa-apa yang betul dan apa-apa yang salah,” tegasnya.