KUALA LUMPUR: Kanada melihat peluang memperkukuh kerjasama strategik dengan Malaysia dalam kecerdasan buatan (AI) melalui ekosistem kedua-dua negara yang saling melengkapi.
Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Jodi Robinson, menyenaraikan tadbir urus AI, penyelidikan, pertukaran bakat, pengkomersilan teknologi dan pendigitalan perkhidmatan awam sebagai bidang kerjasama yang berpotensi.
Beliau menjelaskan bahawa Kanada mempunyai kekuatan AI dalam sektor yang diminati Malaysia, antaranya kesihatan, tenaga, pertanian serta pembuatan dan robotik termaju.
Selain itu, Kanada berminat membina hubungan jangka panjang yang menggalakkan inovasi bersama dan pelaburan, bukan sekadar menjual teknologinya.
Strategi AI Kanada menyasarkan sehingga 250,000 pekerjaan menerusi penggunaan AI menjelang 2031, manakala penggunaan AI dalam perniagaan dijangka meningkat daripada kira-kira 12 peratus kepada 60 peratus menjelang 2034 seperti dilapor Bernama.






