Gembleng tenaga banteras penyalahgunaan dadah

SABAN hari, masalah penyalahgunaan dadah sering terpampang di dada akhbar, media sosial dan kaca televisyen.

Malah ia turut menjadi berita hangat di corong-corong radio.

Melihat fenomena ini diperkatakan hampir setiap hari, sedikit banyak menimbulkan kegusaran apabila memikirkan masa depan generasi muda kita.

Di manakah silapnya sehingga dadah yang dianggap sebagai racun suatu ketika dahulu, seolah-olah perkara biasa sekarang ini.

Apakah yang mendorong dan punca kegiatan penyalahgunaan dadah ini sehingga ia hampir menjadi berita wajib setiap hari.

Daripada golongan belia hingga warga emas, tanpa mengira latar belakang, semuanya tidak terkecuali. Kerana apabila melihat berita yang diterbitkan, rata-rata yang ditangkap tidak tertumpu kepada satu golongan sahaja, baik dari segi darjat mahupun pangkat.

Majoriti tahu akan kesannya yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan fizikal, mental, emosi dan tingkah laku.

Lebih memilukan, penyalahgunaan dadah ini boleh menyebabkan pelakunya ketagihan dan menyebabkan mereka bergantung hidup kepada dadah.

Jika kita melihat dari sudut kesihatan fizikal, ia boleh mengganggu tumpuan, melambatkan proses berfikir, penglihatan kabur dan mengganggu percakapan sehingga menyebabkan ketidakseimbangan minda.

Dari segi psikologi pula, penagih dadah kemungkinan besar akan berasa kurang keyakinan diri dan berhalusinasi selain berhadapan stigma serta persepsi negatif masyarakat terhadap golongan tersebut.

Bukan itu sahaja, sudah banyak berita mengenai tindakan luar batas penagih dadah seperti mengugut ahli keluarga dan mencuri dilaporkan.

Malah ada yang sanggup membunuh ahli keluarga sendiri apabila keinginan mereka tidak dipenuhi. Ini jelas menunjukkan institusi kekeluargaan turut menerima ancaman.

Apabila difikirkan, apakah cara terbaik bagi membendung masalah ini?

Adakah undang-undang selama ini tidak mencukupi?

Atau orang sudah tidak takut lagi dengan hukuman berat sehingga ia dipandang enteng?

Pada 28 Jun lalu, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Sarawak, Wan Madihi Wan Salleh mendedahkan tiga daerah termasuk Kuching, Samarahan dan Miri dikenal pasti sebagai lokasi aktiviti penyalahgunaan dadah berisiko tinggi di Sarawak tahun ini.

Beliau memberitahu, lokasi terbabit menjadi sarang utama penagihan dadah berdasarkan statistik tangkapan kes menerusi Ops Total Enforcement ll yang dilaksanakan pada 22 hingga 24 Jun lalu.

Baru-baru ini, kita juga dikejutkan dengan berita menggemparkan apabila dua pegawai polis antara 14 individu yang ditangkap kerana terlibat dalam dua sindiket pengedaran dadah yang aktif di Sarawak, membabitkan RM10 juta.

Katanya, dua pegawai polis tersebut adalah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dan seorang daripada yang ditahan merupakan pegawai kanan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD berkenaan.

Sebagai orang awam, kejadian ini pastinya memberi tanggapan yang kurang enak dan mungkin selepas ini orang ramai mula kurang yakin terhadap anggota penguat kuasa.

Namun, ia tidak bermakna kita boleh menuding jari kepada mereka hanya kerana segelintir yang terlibat. Oleh itu masyarakat kita perlu sedar bahawa tanggungjawab membanteras dadah bukan hanya terletak di bahu pihak tertentu, tetapi ia adalah tanggungjawab semua pihak.

Kita harus menggembleng tenaga bersama-sama kerana jelas bahawa usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah memerlukan bantuan setiap individu.

Sebarang maklumat berkaitan permasalahan tersebut boleh disalurkan kepada pihak berwajib seperti agensi bertanggungjawab,

AADK atau mana-mana agensi berkaitan. Yang pasti, kita perlu kembali ke pangkal jalan, mendidik generasi muda secara berterusan, bermula di peringkat akar umbi tentang bahaya penyalahgunaan dadah.

Ini kerana kita mahu melahirkan generasi baharu masa depan yang bebas daripada gejala tersebut. Di samping itu, hukuman lebih berat terhadap pesalah hendaklah dikuatkuasakan, lebih-lebih lagi yang membabitkan pegawai atasan.

Ini kerana ia bukan sahaja mencemari nama baik mereka, tetapi juga membabitkan maruah jabatan perkhidmatan, terutama pasukan polis yang sepatutnya menjadi ‘penjaga’ kepada masyarakat, bukannya pemusnah.

Hukuman berat adalah wajar, sebagai pengajaran dan kesedaran kepada khalayak masyarakat.