TOKYO: Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan timur laut Jepun awal hari ini. Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memaklumkan gempa berlaku di luar pantai Wilayah Iwate pada kedalaman kira-kira 40 kilometer. Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Wilayah Aomori dan Iwate.
Pemeriksaan awal mendapati tiada keadaan luar biasa di loji janakuasa nuklear Higashidori, kompleks nuklear Onagawa dan loji pemprosesan semula bahan api nuklear di Rokkasho.
Menurut laporan Bernama, gempa itu berlaku beberapa hari selepas gegaran bermagnitud 7.2 melanda kawasan sama yang menyebabkan sekurang-kurangnya 10 cedera, menjejaskan perkhidmatan Shinkansen dan memaksa sekolah ditutup sementara. Pada Jumaat, satu lagi gempa bermagnitud 5.6 turut menggegarkan Wilayah Yamanashi.
JMA sebelum ini menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan gempa susulan. Tiada aktiviti luar biasa dikesan di Gunung Fuji susulan gegaran terbaru itu.



