XINING: Seorang maut manakala lapan lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda Wilayah Autonomi Mongol dan Tibet Haixi di Qinghai, barat laut China, petang Selasa.
Pasukan penyelamat memaklumkan semua mangsa yang cedera telah menerima rawatan dan dibenarkan pulang dari hospital.
Menurut Bernama, ribuan penduduk, pelajar dan guru dipindahkan ke lima pusat penempatan sementara yang dilengkapi keperluan asas.
Kawasan pelancongan turut ditutup dan pelancong dipindahkan ke bandar berhampiran, manakala lebih 1,000 anggota penyelamat serta hampir 200 jentera digerakkan ke lokasi.
Gempa berlaku pada 5.06 petang pada kedalaman 10 kilometer, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China.



