TOKYO: Gempa bumi dengan magnitud awal 5.9 melanda timur Jepun awal Ahad, menyebabkan gangguan lalu lintas dan kecederaan di wilayah Tokyo, menurut agensi cuaca dan pihak berkuasa tempatan, lapor Kyodo News.
Gempa yang berlaku pada jam 2.00 pagi itu dan berasal dari bahagian selatan Wilayah Ibaraki pada kedalaman 68 kilometer, tidak mencetuskan tsunami, menurut Agensi Meteorologi Jepun.
Kekuatan gempa itu dicatatkan pada tahap 5 berdasarkan skala keamatan seismik 7 magnitud Jepun di beberapa bahagian wilayah terjejas termasuk di tengah Tokyo.
Beberapa perkhidmatan kereta api ditangguhkan berikutan gempa, menurut JR East dan pengendali lain.
Gempa itu menyababkan beberapa mangsa cedera termasuk seorang pemuda dan seorang wanita berusia 70-an di Saitama, utara Tokyo, serta tiga orang di Kawasaki, di selatan ibu negara, menurut jabatan bomba tempatan.
Di Wad Koto Tokyo, paip air pecah, mendorong pihak berkuasa metropolitan untuk menyiasat sama ada kerosakan itu disebabkan oleh gegaran. Intensiti gegaran 5 magnitud juga direkodkan di bahagian wilayah Saitama dan Chiba.
Di pusat Tokyo, intensiti yang sama dicatatkan di Wad Adachi, manakala bahagian lain ibu kota mencatatkan intensiti yang lebih rendah.
Tiada keabnormalan dikesan di loji kuasa nuklear Tokai No. 2 di Wilayah Ibaraki atau loji nuklear Fukushima Daiichi yang dilanda bencana dan loji Fukushima Daini di timur laut Jepun, menurut pengendali.
Menerusi catatan di media sosial Perdana Menteri Sanae Takaichi berkata, beliau telah mengarahkan pegawai untuk memastikan tahap kerosakan akibat gempa itu dan memberikan maklumat tepat pada masanya kepada orang ramai.
Agensi cuaca menggesa orang ramai untuk terus berwaspada terhadap gempa bumi yang direkodkan di bawah 5 magnitud pada skala keamatan seismik sepanjang minggu depan, terutamanya dalam tempoh dua hingga tiga hari akan datang.
Gempa bumi Ahad lepas dirasai merentasi kawasan yang luas di negara itu, termasuk timur laut dan tengah Jepun.
Agensi itu mengeluarkan amaran kecemasan gempa bumi ketika bencana berkenaan berlaku. -Bernama-Kyodo



