MARUDI: Generasi muda Sarawak disaran membaca buku The Hydrogen Revolution: A Blueprint for the Future of Clean Energy karya Marco Alverà bagi memahami potensi ekonomi hidrogen yang diyakini bakal menjadi antara pemacu utama pembangunan masa depan negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata penguasaan ilmu mengenai tenaga baharu itu amat penting supaya golongan muda mampu merebut peluang dalam ekonomi berteknologi tinggi yang sedang berkembang pesat.

“Saya bertemu dengan orang muda dan memberitahu mereka bahawa mereka mesti memahami cara menilai serta memanfaatkan tenaga baharu yang berasaskan hidrogen.
“Saya berkongsi dengan mereka supaya membaca buku yang ditulis oleh Marco Alverà yang menjelaskan bagaimana hidrogen berpotensi menjadi sumber tenaga bersih dan mampu memberi manfaat besar kepada manusia melalui pelbagai inovasi berasaskan sains,” katanya pada Majlis Perasmian Regata Baram 2026, di sini, hari ini.
Menurut beliau, maklumat daripada buku tersebut turut menjelaskan hidrogen boleh dihasilkan menerusi beberapa kaedah, termasuk proses elektrolisis air, penghasilan hidrogen biru serta teknologi lain yang menjadikan sumber tenaga itu lebih bersih dan mampan.
“Kalau kita memahami proses ini, kita akan mengetahui bagaimana hidrogen boleh dihasilkan dan dimanfaatkan sebagai tenaga bersih pada masa depan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembangunan ekonomi Sarawak kini berpaksikan ilmu pengetahuan dan teknologi, termasuk memanfaatkan sumber gas asli untuk menghasilkan produk bernilai tambah.
“Bagi memastikan anak-anak kita bersedia menghadapi perubahan ekonomi global, Kerajaan Sarawak memperkenalkan pendidikan tinggi percuma sebagai usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Inilah peluang untuk generasi muda melengkapkan diri dengan ilmu terkini seperti semikonduktor, teknologi hidrogen, perubahan iklim, analitik data serta kecerdasan buatan (AI), kerana pengetahuan hari ini berkembang dengan pantas, begitu juga cara ekonomi bergerak,” tegasnya.



