KAPIT: Generasi muda Sarawak perlu melengkapkan diri dengan kemahiran digital, pemikiran kritis, kreativiti dan keupayaan menyesuaikan diri bagi memenuhi keperluan sektor ekonomi baharu yang semakin berkembang pesat di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus yang juga Ahli Lembaga Amanah TEGAS, Wilson Nyabong Ijang berkata, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi dan inovasi mengubah landskap pendidikan serta dunia pekerjaan, sekali gus menuntut generasi muda memiliki kemahiran yang lebih menyeluruh.
Katanya, kelayakan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi kerana pelajar perlu mempunyai keupayaan untuk terus belajar, menguasai kemahiran baharu dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam pasaran pekerjaan.
“Dalam suasana perubahan yang begitu pantas, anak-anak Sarawak perlu melihat pendidikan dan kemahiran sebagai pelaburan jangka panjang untuk membina masa depan, bukannya sekadar laluan mendapatkan pekerjaan.
“Keupayaan mengembangkan potensi diri, berfikir secara kreatif serta berani meneroka bidang baharu akan menjadi antara faktor penting dalam menentukan kejayaan mereka,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah Pendidikan Project Of Dreams Realized (Pro-Dr) di Dewan SMK Kapit, di sini, semalam.
Beliau berkata, program seperti Pro-Dr amat penting kerana membuka ruang kepada pelajar, khususnya di kawasan luar bandar, mendapatkan pendedahan mengenai peluang pendidikan, latihan kemahiran dan laluan kerjaya yang bersesuaian dengan minat serta kebolehan masing-masing.
Katanya, pembangunan sesebuah negeri tidak boleh hanya diukur melalui kemajuan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya memerlukan modal insan berkualiti yang mampu menjadi penggerak kepada pembangunan tersebut.
“Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memberi perhatian besar terhadap pembangunan modal insan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.
Dalam pada itu, Wilson berkata pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) turut membuktikan kesungguhan kerajaan negeri memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada anak Sarawak selain membantu meringankan beban kewangan keluarga.
Beliau berkata, usaha memperkukuh pendidikan perlu bergerak seiring dengan perkembangan sektor strategik Sarawak seperti ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen, aeroangkasa dan pembuatan berteknologi tinggi yang memerlukan tenaga kerja tempatan berkemahiran.
Sehubungan itu, beliau menyeru pelajar supaya menetapkan matlamat yang tinggi, mengenal pasti kekuatan diri dan tidak takut mencuba bidang baharu, manakala ibu bapa serta guru perlu terus memainkan peranan sebagai pembimbing dalam membantu mereka membuat pilihan pendidikan dan kerjaya yang tepat.



