Geng peras ugut minta wang “jaga kawasan”
KUCHING: Enam lelaki ditangkap kerana dipercayai terbabit dalam kes peras ugut di sekitar bandaraya ini.
 
Kesemua suspek yang berumur 23 hingga 52 tahun itu ditangkap semalam, antara jam 3 petang hingga 9 malam.
 
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata tangkapan ke atas geng peras ugut itu susulan daripada laporan polis yang dibuat seorang sub-kontraktor.
 
Katanya lelaki itu telah menjadi mangsa ketika sedang bekerja membina jalan raya di satu kawasan taman perumahan di sini.
 
“Mangsa mendakwa pada 19 Jun lalu lebih kurang jam 1 petang, dia telah didatangi ahli geng ini dan mereka mengatakan menjaga kawasan berkenaan.
 
“Mereka telah menuntut wang pemerasan, jika tidak geng ini akan mengganggu kerja dan proses pembinaan di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
 
Merbin menambah siasatan awal ke atas keenam-enam suspek mendapati pihaknya percaya geng berkenaan terlibat dalam satu lagi kejadian.
 
Katanya modus operandi mereka adalah sama iaitu datang mengganggu kerja-kerja di tapak pembinaan dan meminta sejumlah wang antara RM100 hingga RM500 mengikut kehendak mereka.
 
Beliau berkata semua suspek turut didapati mempunyai rekod jenayah lampau dan narkotik.
 
“Hasil pemeriksaan air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis syabu,” katanya.
 
Justeru, Merbin berkata permohonan reman ke atas semua suspek telah diluluskan selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan 385 Kanun Keseksaan.
 
“Pihak polis ingin menasihati dan memberi amaran bahawa kegiatan peras ugut tidak akan dibiarkan dan tindakan agresif ke atas mereka yang terlibat akan diambil serta merta,” katanya.