Gerakan mencari dan menyelamat nelayan hilang di laut diteruskan

BINTULU: Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan dari Kampung Jepak di sini, yang dilaporkan hilang semasa ke laut untuk menangkap ikan sejak Isnin lalu, masih diteruskan.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Bintulu Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata SAR warga emas, Aziz Ja’afar Atahar,69, dijalankan seawal jam 7 pagi tadi dengan sektor pencarian 50 batu nautika persegi atau kira- kira 80km persegi daripada pantai terhampir Batang Kemena sehingga ke laut.

Beliau berkata, operasi mencari mangsa dilakukan secara bersama oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Bintulu Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu, agensi berkaitan termasuk penduduk setempat yang berkumpul di jeti Polis Marin, Kampung Jepak.,

Effendy, dalam pada itu, menggesa komuniti maritime terutamanya di Bintulu dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan insiden terbabit di samping menasihat mereka supaya mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

Sementara itu, kehilangan mangsa dilaporkan anak kandungnya, Noorkamisah Aziz di Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu pada jam 3.18 petang, Rabu yang memaklumkan ayahnya keluar rumah pada malam Isnin, lebih kurang pukul 7.30 malam untuk memacing ke laut di kawasan Kuala Batang Kemena berhadapan Hotel ParkCity Everly, di sini.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili ketika mengesahkan kes tersebut memberitahu mangsa dilaporkan keluar ke laut berseorangan menaiki perahu berukuran 25′ x 4′ dengan enjin 30hp yang mana cuaca pada masa itu hujan.

Selepas itu,katanya, mangsa tidak pulang ke rumah sambil menambah bimbang akan keselamatan mangsa, anaknya telah membuat laporan polis, petang semalam(Rabu).

Anak mangsa telah cuba menghubungi ayahnya, namun tidak berjaya dan sehingga kini mangsa masih belum pulang dan ditemui, ujarnya lagi.