KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala menafikan dakwaan tular yang mengatakan PETROS memohon untuk merekrut pekerja asing melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Menurutnya, maklumat yang disebarkan dalam talian adalah tidak tepat dan mengelirukan.
“Ia berita palsu, tiada sebarang permohonan daripada PETROS kepada JTK,” katanya kepada Sarawak Tribune, hari ini.
Beliau menjelaskan perkara tersebut susulan kebimbangan orang ramai berkaitan satu dokumen yang dikongsi di media sosial, kononnya melibatkan pengambilan pekerja asing bagi syarikat minyak dan gas milik Sarawak.
Sehubungan itu, Gerawat turut menjelaskan dakwaan tular berasingan yang mengaitkan pertemuan di antara Sarawak dengan Bangladesh baru-baru ini dengan pembangunan PETROS, sambil menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Jelasnya, pertemuan antara Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, tidak melibatkan PETROS. Malah tiada sebarang perbincangan atau persetujuan berkaitan syarikat minyak dan gas negeri itu.
“Dakwaan bahawa Sarawak dan Bangladesh bersetuju untuk bekerjasama dalam pembangunan PETROS adalah tidak benar dan mengelirukan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Gerawat turut menegaskan bahawa tiada sebarang keputusan, persetujuan atau komitmen dibuat untuk menambah bilangan pekerja Bangladesh di Sarawak.


